Friday, August 9, 2013

Aku redha pemergianmu... Arfah Irdina

Batu Nesan Allahyarhamah anakku yang pertama... di Perkuburan Bukit Lintang Segamat.
Meninggal dunia pada 8 Dis 2002, 3 Syawal 1423H. Al-Fatihah
Hakikatnya, bukan mudah untuk menerima sebuah kehilangan...walaupun kita sendiri tahu bahawa semua benda adalah pinjaman dariNya, termasuklah diri kita sendiri. Setiap yang datang pasti akan pergi dan setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap yang hidup pasti akan menemui  mati.
Setiap ibubapa pasti ada dugaannya dan pada aku dugaan inilah yang  paling besar  apabila anak dijemput menghadap Ilahi  ketika mereka masih kecil, masih bayi dan masih belum baligh  lagi.
Sehingga kini, air mata ini tidak dapat ditahan dan kadangkala berguguran juga apabila mengingatkan kembali saat-saat terakhir bersama Arfah Irdina...

Menurut Hadits Qudsi:
Allah SWT berfirman pada hari kiamat kepada anak-anak: “Masuklah kalian ke dalam syurga!” Anak-anak itu berkata: “Ya Rabbi (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk.” Lalu mereka mendekati pintu syurga! tapi tidak mau masuk ke dalamnya.Allah berfirman lagi: “Mengapa, Aku lihat mereka enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam surga!” Mereka menjawab: “Tetapi (bagaimana) orang tua kami?”Allah pun berfirman: “Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian.

Pada 1 Oktober 2001, bermulah sejarah baru dalam hidupku... aku kini bergelar seorang ayah kepada bayi  perempuan yang ku namakan Arfah Irdina. Ku panjatkan kesyukuran pada mu Ya Allah kerana memberikan  nikmat merasai pengalaman menjadi seorang ayah selepas bergelar suami selama selama lebih 9 bulan. Anugerah yang tidak terhingga ini amat ku bersyukur dan disambut dengan gembira. Anakku juga merupakan cucu pertama mentuaku..Kehadiran Arfah dalam hidup ku mewarnai kehidupan kami sekeluarga baik keluarga di Segamat dan juga di Merlimau.

Arfah ketika berusia 24 hari sedang menangis (24 Oktober 2002)
Pengalaman pertama mengandung oleh isteriku tentulah sesuatu pengalaman yang serba baru yang penuh cabaran kerana terpaksa mengandung keseorangan tanpa ku disisi kerana tuntutan kerja serta  mengalami demam campak ketika diakhir kandunganya. Aku masih lagi di Kuala Lumpur dan isteriku berada di JB. Belilau terpaksa membuat check up sendirian, melayani alahan dan mual, pergi kerja dengan bas dan duduk serumah dengan housemate yang tidak mengambil tahu hal sekeliling. Alhamdulillah, segala cabaran dan pengalaman dihadapi dengan tabah dan terima kasih kepada mentuaku yang menemaninya disaat akhir kandungannya.

Dua hari  sebelum umat Islam menyambut lebaran pada tahun 2002, Arfah mengidap demam panas dan cirit berit.. 2 klinik telah ku bawa untuk meredakan panasnya. Panasnya berkurangan pada raya pertama, namun agak susut sikit beratnya, mungkin kerana kurang minum. Aku hanya menjaganya dirumah mentuaku sambil  melayani tetamu yang hadir. Raya kedua Arfah begitu juga keadaanya, panasnya tidak begitu tinggi namun, tidak berapa ingin nak menyusu... keadaan terus berubah pada sebelah petang Arfah terkena Sawan dan badannya kejang dan terus aku membawanya ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut. terasa jauhnya perjalanan ke Hospital Segamat dan dalam perjalanan Arfah terus tersentak-sentak sambil anak matanya naik keatas... seram sejuk aku melihat perubahan padanya. Ya Allah, selamatkanlah anakku!


Raya Pertama bersama moyang di Segamat
Selepas pemeriksaan oleh Doktor on-call (Doktor yang sama merawat Arfah ketika di NICU), Arfah dimasukkan ke wad dan hanya ibu atau ayah sahaja yang dibenar menemani. Aku tidak balik...tak sanggup rasanya meninggalkan isteriku menjaga keseorangan anak sulungku. Aku menunggu diluar sambil bersembahyang hajat & membaca yassin memohon kepada  Allah memberikan kesihatan yang baik kepada anakku.

Namun, takdir menentukan segalanya.... Arfah telah kembali menemui Allah pada usia 2 bulan 8 hari pada jam 1.30 pagi...selamat tinggal sayangku. Masih teringat lagi kata-kata Dr tersebut yang Arwah tidak dapat diselamatkan lagi.
Arfah....Ayah dan Mama tidak akan melupakanmu dan sentiasa mengingati kamu. Engkaulah simbol kekuatan kami untuk menghadapi dugaan hidup seterusnya.. kehadiranmu mengeratkan lagi kasih sayang kami berdua.

Aku bersyukur pada mu Ya Allah kerana mengambil kembali anakku dalam keadaan yang bersih- sebersihnya. Sesungguhnya aku merasa bertuah kerana telah dipilih oleh Allah untuk merasai pengalaman memberi susu anak sendiri, menidurkannya, mendodoikan dan mendakap anak sendiri, hanya sembilan  bulan selepas bernikah....Inilah pengalaman pertama dan yang paling berharga & bermakna dalam hidupku.

Ketika meletakkan Arfah di liang lahat dan membuka simpulan kafan, sempat ku berbisik kepada Arfah "Kita bertemu di syurga nanti ya...sayang" dan ayah terus menidurkan kamu diatas tanah buat selama-lamanya...
Disinilah Jenazah Arwah Arfah di kebumikan. Tanah Perkuburan Islam
Kg Bukit Lintang, Segamat. Ayah akan turut menyusul  kamu kemudian hari..
Malahan, semua yang hidup akan turut merasai mati.
Hidup Ayah dan Mama begitu kosong selepas pengkebumian mu. Aku hanya berlakon seolah-olah tiada apa-apa yg berlaku dihadapan orang ramai, namun jauh di sudut hati, aku hanya mampu menangis keseorangan mengingati Arfah. Hanya al fatihah dan Surah Yassin yang boleh disumbangkan kepada mu yang mengubati diri ini di kala kesedihan.

Arfah Irdina... amanlah kamu disana. Ayah relakan kamu pergi dulu. Kini Arfah Irdina telah mempunyai 4 orang adik perempuan yang sama comel dan cantik seperti dirimu sayang... Adik-adik mu telah mula memahami situasi ini dan kadang kala  mereka berkata merindui kamu walaupun mereka tidak pernah bertemu kamu. Kadang kala ayah menyuruh adik-adik mu mensedekahkan Al- fatihah kepada mu semoga mereka akan terus mengingatimu dan mengetahui yang mereka mempunyai seorang kakak yang menanti mu nanti. Adik mu yang ketiga ayah abadikan sebahagian nama mu iaitu Aina Irdina.

Ayah amat merindui dirimu dan moga amanlah kamu disana dan nantikan ayah dipintu syurga....insyallah.

Marilah kita sama-sama membacakan al- fatihah pada Arfah Irdina.

Sekian.


Arfah Irdina diatas sekali, Iffah (Kanan) dan Nisa (bawah)
ketika masih bayi. Gambar ini ada di dinding rumahku
Sijil kematian Allahyarhamah Arfah Irdina bt Mohd Syazli.
Baru sahaja mendaftarkan kelahiran, terpaksa pula
mendaftarkan kematian.


"Riwayat ini di petik dari Internet"

“Semasa di padang Masyhar, diriwayatkan bahawa anak-anak kaum muslimin yang meninggal dunia sebelum mencapai usia baligh, akan dizinkan memberi minum kepada ibu-bapa mereka. Anak-anak ini akan menyusup di antara orang ramai dengan membawa minuman untuk ibu-bapa mereka, sementara manusia ketika itu dalam keadaan dahaga yang luar biasa”.“Anak-anak yang mati sebelum baligh menyambut ayah-bondanya di pintu syurga”.“Anak-anak Muslim yang meninggal di waktu kecil,  di Barzakh dikumpulkan pada suatu tempat dan diasuh oleh Nabi Ibrahim. 

Setelah kiamat nanti mereka itu langsung dipindahkan ke syurga akhirat. Jadi mereka ini tidak mengalami panas matahari, tidak melalui hisab, iaitu pengadilan di Mahkamah Rabbul-Jali. Tidak melalui mizan, dan tidak meniti Titian Shirathal-Mustakim yang terbentang di punggung api Neraka Jahannam itu. Mereka ini setelah dibangkitkan langsung dipindahkan ke dalam syurga Jannatun Naim”

“Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kepada ayah dan bondanya, lupa kepada kampong halamannya, lupa semuanya. Pada suatu hari nanti, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, tiba-tiba ada malaikat memberitahukan: Hai Wildan (anak-anak yang mati sebelum baligh), lupakah engkau kepada ayah-bondamu? Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah-bonda mereka yang selama ini mereka lupakan”.“Lalu mereka ambil air untuk diminum, makanan dan pakaian, lantas mereka itu berlari-lari sambil menangis menuju pintu syurga”.

“Setelah terompet berbunyi, pintu syurga terbuka, maka sekalian orang berhamburan masuk ke dalam syurga itu, dan ketika itulah anak-anak ini sibuk mencari ayah-bondanya. Mereka berjalan ke sana-sini mencari tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis membawa minuman, pergilah mereka kepada malaikat menanyakan: Oh, Malaikat, mana ayah dan bondaku? Kata mereka sambil menangis”.”Malaikat menjawab: Oh wildan, malang kamu, ayah dan bondamu terjatuh ke dalam neraka. Mendengar hal yang demikian maka anak-anak ini menangis dengan ratapan yang menyayat hati. Oh ibuku, Oh ayahku. Apakah kesalahanmu, ayah. Apa dosamu, ibu, maka sampai terjatuh ke dalam neraka. Mereka menangis dan meratap”.“Kata malaikat: Hai Wildan, jangan menangis, mengadulah kepada Nabi Muhammad SAW”.“Setelah anak-anak ini mengadu kepada Nabi Muhammad, lantas Nabi mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkan orang-orang mukmin yang berada di dalam neraka itu”.“Setelah bertemu dengan anak dipintu syurga anak yang meninggal di waktu masih kecil, yang menjadi kerinduan siang malam selama ini, aduh gembiranya tidak terhingga. Berfirman Allah SWT dalam Al-Quran:”Pada hari itu mereka berjumpa dalam keadaan gembira.(Ad-Dahr: 11)


4 comments:

  1. terkedu membaca catatan saudara,kerana saya juga baru shj kehilangan anak yg di kasihi pada pagi jumaat yang mulia 6/12/2013 baru2 ini.anak saya berusia 4 tahun,yang bongsu drp 3 beradik..hanya allah sj yang tahu perasaan seorang ibu/bapa di saat pemergian insan yg dikasihi..alfatihah untuk anakandaku ulya insyirah bt muhamad sardi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alfatihah untuk allahyarham insyirah... Dia adalah harta yang paling berharga kelak. Insyallah

      Delete
    2. Allah, xleh nk ckp pe2.. kerana sy pun mengalami nasib yg sama.. Anak saya meninggal pd
      6hb. oktober 2015 baru2 ni.. walaupun xdpt bw blk rmh sejak lahir di NICU Putrajaya sy dan isteri redha dua akhirat..

      Delete
  2. Allahuakbar...ujian kami sama dengan En. Lukman Mohd. 6 Ramadhan 1437H, putera kecil dipanggil Penciptanya...HikmahNya yang cukup luas untuk dimengertikan.

    ReplyDelete