Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 13: Wukuf di Arafah

Travelog Haji 13: Wukuf di Arafah


Seminggu sebelum wukuf, jemaah sudah tidak digalakkan untuk melakukan umrah. Kesihatan adalah yang paling penting sekali dalam tempoh puncak. Boleh dikatakan hampir semua jemaah seluruh dunia sudah tiba di Makkah. Jemaah tempatan dari Arab Saudi sudah mula pun kelihatan. Mereka boleh dikenali dari pakaian wanita mereka yang berbaju Abaya hitam dan memakai purdah.  Masjidil Haram yang begitu besar sudah kelihatan kecil dan tidak mampu memuatkan kesemua jemaah ketika waktu solat. Polis dan Tentera Saudi semakin ramai di bertugas kawasan Al Haram. Teriakan Haji... Haji... Thariq..Thariq (laluan..laluan) dan setiap kali selepas solat teriakan  Haji..Haji.. tawaf..tawaf ... jeritan Polis Al-Haram meminta jemaah untuk bangun dari tempat solat bagi membolehkan orang melakukan tawaf. 


Haji adalah Arafah- Hadis riwayat at-Tirmizi. Wukuf di Arafah adalah Rukun dan Ibadat terpenting  Haji. Jika ada jemaah tidak dapat wukuf dalam tempoh berwukuf tidak ada haji bagimya

Walaupun sudah tidak digalakkan membuat umrah, kami tetap berdegil untuk membuat umrah pada tempoh 7 hari sebelum wukuf, akhirnya kami terpaksa membayar harga teksi yang mahal untuk  perjalanan miqat ke Tanaem. Itu lah.. lain kali jangan degil. Ikut arahan TH!

Bersama rakan sebilik di Khemah Arafah-Hj Ismail, Syazli dan Hj Aziz


Hari ini 8 Zulhijjah 1437 (10 September 2016-Sabtu) semua jemaah haji muassasah akan mula bergerak ke Arafah untuk berwukuf. Arafah adalah destinasi yang wajib dikunjungi oleh semua jemaah haji dan merupakan rukun yang tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan  sakit mahupun sedang menerima rawatan di Hospital. Ini adalah kemuncak Haji dan Arafah mesti di kunjungi walaupun seketika. Waktu wukuf bermula pada selepas Zohor pada 9 Zulhijjah sehinggalah masuk Maghrib dan pada sebelah malam, bermabit (bermalam) di Mudzalifah.

Bersama rakan Maktab 86 di Arafah
Kiri- Mazlan, Hairudin, Adenan, Syazli

Wuquf merupakan rukun haji  paling penting, yang membezakan di antara haji dan umrah. Inilah kemuncak ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Haji itu adalah wuquf di Arafah”.  Hadis sahih riwayat at-Tirmizi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah.


Rombongan Maktab 86 akan bertolak ke Padang Arafah selepas Zohor jam 2 petang. Jemaah Mussasah bergerak 1 hari lebih awal dari 9 Zulhijjah bagi mengelakkan kesesakan semasa perjalanan ke Arafah. Bagi melicinkan perjalanan, semua jemaah diminta untuk mengikut arahan dan tidak turun ke lobi sehingga diberi arahan oleh TH.  Sekali lagi, lif tidak dapat menampung jemaah yang hendak turun secara serentak dan keadaan menjadi lambat. Malah jemaah yang bertenaga diminta untuk turun menggunakan tangga.

Suasana dalam khemah semasa wukuf di Arafah. Khemah masih kosong. 
Kami antara yang terawal sampai
Kami berniat Haji ketika dalam bas. Setiap bas perlu di penuhkan dengan sepadatnya bagi mengelakkan trip yang banyak. Kami berdua berdiri hingga ke Arafah bagi memberi peluang kepada mereka yang lebih memerlukan.  Sepanjang perjalanan semua jemaah bertalbiah sehinggalah sampai ke Arafah. Perjalanan ke Arafah amat lancar tanpa kesesakan dan bas sampai ke lokasi khemah Maktab 86 dengan selamatnya. Kelihatan polis Saudi mengawal di tepi jalan raya hampir setiap kilometer. Alhamdulillah, kami sampai lebih kurang 45 minit selepas bertolak dari Makkah. Ternyata kisah-kisah yang menyatakan perjalanan Makkah-Arafah sejauh 22 KM tetapi mengambil masa 3-5 jam tidak berlaku kepada kami pada musim haji tahun ini. Syukur pada mu Ya Allah, kau permudahkan perjalanan kami dari Makkah-Arafah. Perjalanan kami ke Arafah amat lancar tanpa kesesakan!


Kami sampai agak awal dari jemaah yang lain. Suasana khemah Maktab 86 masih lengang. Selepas menemui kawasan khemah, saya terus membersihkan diri dan bersiap untuk solat Asar.  Tandas pun masih lagi kosong dan saya masih boleh memilih bilik air yang disukai. Cuaca panas adalah cabaran yang terbesar bagi semua jemaah tahun ini. Suhu yang mencecah sehingga 45 Celcius menyebabkan ramai jemaah berasa tidak selesa. Jemaah lelaki ramai yang membuka kain ihram sebelah atas termasuklah saya. Spray wuduk yang di beri oleh TH dijadikan spray badan bagi menyegarkan diri.

Bayangkan, air mineral yang diberikan kepada kami semuanya menjadi ‘air suam’ walaupun diletakkan dalam khemah. Air paip ditandas sentiasa panas walaupun diawal pagi. Walaupun tiada hot shower, air paip di bilik air tetap panas.

Suasana petang ketika wukuf di Arafah. Pokok yang ditanam sudah besar

Malam itu, sebaik selepas solat Maghrib+Isyak (Jamak) tidak banyak aktiviti dapat dibuat kerana keadaan khemah yang gelap. Keadaan di khemah agak mulai sesak dan hanya boleh memuatkan kawasan tidur sahaja. Pergerakkan dalam khemah cukup terbatas. Beg yang dibawa menjadi bantal dan tidur beralaskan tikar getah yang di berikan oleh TH. Semau jemaah hanya di benarkan membawa 1 beg sahaja seperti beg yang di berikan oleh TH.  Saya hanya memegang tasbih dan berzikir dan terus tertidur. Pagi keesokkannya saya bangun sekitar jam 3 pagi, terus mandi dan pergi ke Surau yang disediakan untuk melakukan solat-solat sunat. Surau yang disediakan tidaklah besar dan hanya boleh memuatkan sekitar 200-300 jemaah sahaja berbanding jumlah jemaah satu Maktab seramai 3200 jemaah. Siapa yg cepat, daptlah tempat di surau, yg lambat hanya duduk di Khemah sahaja menunggu subuh.

Salah satu bas Maktab 86 yang berasap ketika menuju ke Arafah.
Khabar angin menyatakan bas terbakar.. tapi hanya mengalami kerosakan enjin hingga berasap 


9 Zulhijjah 1437H (11 September 2016) . Ketika sedang kuliah Dhuha oleh Ustaz Zawawi, khemah kami diziarah oleh Menteri di JPM iaitu Datuk Seri Jamil Khir bersama rombongan TH.  Sebaik sahaja masuk waktu zohor semua jemaah haji solat di khemah masing-masing secara berjemaah dan diikuti dengan Khutbah Arafah. Kandungan khutbah yang dibaca oleh Ustaz Zawawi amat menyentuh perasaan dan boleh menitiskan air mata kalau dihayati dengan sepenuh hati. Malahan beliau sendiri dalam keadaan yang sebak ketika membaca Khutbah Arafah. Selepas khutbah, jemaah boleh melakukan kegiatan bebas.  Ketika inilah pintu langit terbuka luas, berdoalah, mintalah pada Allah, bertaubatlah kepadanya Insyaallah, doa kita akan diangkat ke langit dan diberi pengampunan dari Nya.


Maktab 86 diziarahi oleh Menteri di JPM Datuk Seri Jamil Khir, Dato Azeez &  bersama Pengurusan TH pada pagi 9 Zulhijjah



Saya telah menyiapkan himpunan doa-doa sebelum berangkat lagi dan koleksi doa-doa juga diberikan oleh TH sebelum penerbangan. Saya habiskan semua doa-doa yang ada dalam simpanan dan membacakan doa-doa yang dikirim oleh sahabat-sahabat di Malaysia. Ya Allah, kau makbulkanlah doa hamba Mu ini. Amin.

Khutbah Arafah yang dibacakan pada petang itu (2016) boleh di tonton di 

Masuk petang dan matahari kian terbenam. Alhamdulillah, kami telah dapat melalui satu lagi rukun haji dan ini merupakan satu pengalaman paling bermakna. Ibadah Haji wajib sekali sepanjang hidup. Mungkin ini merupakan pengalaman yang pertama dan terakhir bagi saya. Kalau ada rezeki untuk ke Arafah lagi, mungkin hanya aktiviti ziarah, bukannya untuk berwukuf seperti mana yang saya lalui hari ini. Ya Allah, aku memohon  pada MU, kau jemputlah saya lagi menjadi tetamuMu.

Benarlah kata mereka yang pernah menunaikan haji, kenikmatan mengerjakan haji adalah ketika berada di Arafah. Haji adalah ArafahSelepas Maghrib, KT26 memulakan perjalanan ke Mudzalifah dan kami merupakan kumpulan terakhir ke Mudzalifah.

Dikala senja menghampiri Maghrib di Arafah pada 9 Zulhijjah 1437
Di tempat sidai baju di bumbung Hotel. Nice View



Link ke Travelog Haji 14: Sukarnya Mencari Batu di Mudzalifah
 

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com


Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:

29. Travelog Haji 29: Senarai Barang Keperluan Haji
31 : Travelog Haji 31: Tersilap Membeli Al Quran Untuk Diwakaf 
32. Travelog Haji 32: Perkara Menarik Sepanjang Mengerjakan Haji



Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog ini bukanlah panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan. Oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

Syazli Tahir - msyazli@gmail.com


2 comments:

  1. Assalamualaikum hj Syazali, terima kasih atas coretannya, menghimbau kenangan lama, apatah lagi gambar saya ada di belakang tuan haji, kita satu khemah bertemu kepala masa tu..Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita..rindu kawan2 lama..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah... Ya masih ingat. Moga ukhuwah kita terus berkekalan.
      FB saya Syazli Tahir

      Delete