Friday, April 8, 2016

Istanbul... Aku Datang - Sultan Muhammad Al Fateh


Hagia Sophia...siap dibina pada tahun 537M adalah Gereja kepada Kristian Orthodox dan selepas 900 tahun iaitu 1453M dijadikan Masjid Aya Sopia oleh Sultan AL Fateh dan selepas 500 tahun iaitu  tahun 1923 dijadikan Muzium oleh Kamal Ataturk hingga sekarang.


Rasullullah bersabda ketika menggali  parit semasa perang Khandaq "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sewaktu itu adalah sebaik-baik raja dan tenteranya juga sebaik-baik tentera..." - Diriwayatkan oleh Imam Ahmad

Siapakah yang dimaksudkan oleh Rasulallah swt  sebaik-baik Raja dalam hadis tersebut? dan siaapkah sebaik-baik tentera sepertimana sabda Rasulullah? dan bilakah Konstantinopel (Istanbul) jatuh ke tangan tentera islam?

Selepas 825 tahun lamanya Sabda Rasullulah swt, barulah Konstatinople jatuh ketangan Islam iaitu pada 29 Mei 1453 (857H) dan Rajanya ketika itu ialah Sultan Muhammad Al Fateh dari Khalifah Uthmaniyyah. Siapakah Muhammad Al Fateh (sebaik-baik raja) dan bagaimanakah beliau dapat menawan Konstantinopel?

Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 M di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Muhammad Al Fateh menaiki tahta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451-1481). Beliau merupakan seorang pemimpin dan panglima yang ulung yang memimpin sendiri 25 siri peperangan dizamannya dan Islam bekembang di Eropah pada zamannya.

Pendidikan 
Sultan Muhammad Al-Fateh menerima pendidikan dalam bidang agama melalui gurunya, Syeikh Shamsuddin Al-Wali keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Dalam ilmu peperangan, beliau diajar teknik peperangan seperti strategik, memanah, dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera beliau.

Dalam bidang akademik pula, Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Latin, Bahasa Greek, Bahasa Serbia, Bahasa Turki, dan Bahasa Hebrew.

Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh bersuluk ke Pulau Magnesia dan telah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh yang berusia 12 menjadi Khalifah dan pada usia semuda itu juga, baginda telah mahir tipu daya musuh. 

Keperibadian 
Sultan Muhammad Al-Fateh sentiasa bersifat tawaduk (merendah diri). Semasa membina Kubu Benteng Rumeli Hissari baginda membuka baju dan serban hanya semata-mata untuk mengangkat batu dan pasir. Tindakan Sultan Muhammad Al-Fateh ini menjadi ikutan ulama dan menteri untuk turut sama bekerja. Beliau seorang yang tenang, pendiam, berani, sabar, dan tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Beliau sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka perihal permasalahan negara.


Inilah gambar Sultan Muhammad Al fateh yang dikatakan dilukis oleh pelukis terkenal dari Italy ketika zaman kegemilangannya.
Bagaimana Istanbul dapat di tawan?
Selama 2 tahun selepas menaiki tahta Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji pelan Kota Konstantinopel bagi mengenalpasti titik kelemahan dan kekuatannya. Beliau mengkaji sebab-sebab kegagalan peperangan-peperangan yang terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima tentang strategi yang sesuai digunakan. Strategi yang dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi strategi daripada peperangan oleh Rasullulah saw dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini menjadi tempat rujukan yang paling disanjungi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. 


Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan dibina peralatan meriam besar yang termoden yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina ditebing sebelah Eropah lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinopel di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildrim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memecilkan Konstantinopel apabila diserang nanti. 

Sultan Muhammad Al-Fateh membawa para ulama dan pakar motivasi ke medan perang yang bertujuan memberikan motivasi semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 200,000 tentera islam bersolat dan melaungkan azan yang memecahkan kesunyian alam. 
Gambaran tentera Islam yang diimamkan oleh Sultan Muhammad Al fateh yang menggerunkan tentera Constantinopel. Sedutan dari filem Al Fateh 1453. Anda boleh melihat filem ini secara percuma di you tube

Setelah segala persiapan lengkap diatur, beliau menghantar utusan kepada Raja Byzantine supaya menyerah diri. Keengganan Raja Byzantine menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung pada 19 April 1453 serangan dimulakan. Kota Konstantinopel dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya telah rosak tetapi tengahnya masih teguh. Tembok Kota Konstantinopel ini mempunyai tiga lapisan, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki  

Menara Bergerak 
Seterusnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantine telah memusnahkan menara bergerak ini setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. 

Pope di Rom menghantar bantuan 5 armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthamiyyah (tentera islam). Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantine. Kegembiraan mereka tidak lama. 

Memanjat dan Melastik Dinding Kota 
Keesokkan paginya tentera islam telah memanjat tembok dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit oleh tentera Byzantine menyebabkan ramai tentera islam yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur tetapi bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari. 

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh. Pada saat, yang genting itu baginda berucap untuk menaikkan semangat tenteranya
 
"Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".


Inilah peta laluan 70 kapal Uthmaniah yang 'belayar' di daratan dan bukit untuk menyerang Konstantinopel sejauh 5km selepas gagal menembusi rantai besi antara Selat Bosphoros dan Golden Horn (gambar sumber internet)

 Kapal Perang belayar  dari Puncak Gunung!!

Keesokkannya Konstatinopel  dikejutkan dengan kehadiran 70 buah kapal perang Uthmiyyah di Teluk Perairan Golden Horn. Ini adalah kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh mengangkut dan menolak kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui antara peperangan yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. Kesemua 70 kapal ini dapat di tolak dari selat Bhosphorus ke Selat Tanduk Emas dalam masa satu malam sahaja.  Kapal ini dialihkan dari selat Bosphorus ke Teluk Golden Horn melalui darat  kerana misi mereka memasuki Selat Bosphorus gagal kerana selat itu mempunyai rantai besi yang besar dilaluan ke selat Golden Horn dan  gagal diputuskan oleh tentera Islam Uthmaniyyah.

Dikatakan menurut satu riwayat, Sultan Muhammad Al Fateh mendapat mimpi untuk memindahkan kapalnya melalui darat kerana dibelakang kota Konstanitopel merupakan tembok kubu Konstantinopel paling lemah dan pemindahan kapal ini mendapat bantuan Allah swt.

Selepas 'melayari' kapal-kapal ini diatas bukit daratan dan di pindahkan ke Golden horn, Kapal-kapal ini membedil dinding pertahanan belakang kota Konstantinopel. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar terkenal bedilan meriam Uthmaniyyah. 

Pertahanan Byzantine semakin lemah. Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan tentang hadis Rasullulah saw dan berdoa kepada Allah SWT. 

Hasan Ulubate salah seorang tentera beliau yang mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu Konstantinople sambil mencacak bendera islam disitu. Namun, mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani dengan anak panah musuh. Kemudian, tentera islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah "Allahu Akbar".

Gambaran dari Filem Al fatih 1453 ketika tentera Al Fatih menolak kapal perang didarat untuk di pindahkan ke selat Golden Horn. 70 kapal berjaya dialihkan dalam masa 1 malam

Penawanan Kota Konstantinopel 
Akhirnya pada 29 Mei 1453 Kota Konstantinopel jatuh ke tangan islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (islam keseluruhannya) dan kemudian akhirnya di tukar nama IstanbulGereja Besar St.Sophie (Hagia Sophia)  ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Sultan Muhammad Al-Fateh dengan tawaduk melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberikan gelaran  "Al-Fateh"  yang bermaksud pembuka atau penakluk lantaran kejayaannya membebaskan Kota Konstantinopel.


Solat Jumaat Pertama di Masjid Aya Sopia (Hagia Sophia)
Ketika  solat Jumaat pertama hendak didirikan timbul masalah siapakah yang layak menjadi imam. Muhammad Al Fateh memerintahkan semua tenteranya termasuk dirinya untuk berdiri lantas bertanya,

"Siapakah diantara kita sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk! 

Tiada seorang pun yang duduk kerana tiada seorang pun diantara mereka pernah meninggalkan solat fardu. 

Di dalam Masjid Aya Sophia  ... kini menjadi Muzium dan moga Allah melaknat
Mustafa Kamal Attaturk. Ramai tentera muslim yang mati berjihad
untuk menawan Konstanitopel  dan Sultan Muhammad Al Fateh menukar Gereja Hagia Sophia ini menjadi Masjid (1453M).

Selepas 500 tahun (Tahun 1923) Mustafa Kamal Ataturk menukar menjadi muzium
masih jelas kelihatan gambar Jesus dan Virgin Mary diantara kalimah Allah dan Muhammad


Beliau bertanya lagi
,
"Siapakah diantara kita sejak umur baligh pernah meninggalkan solat rawatib, sila duduk!  Sebahagian tenteranya duduk.  

Kemudian, Sultan Muhammad Al-Fateh bertanya lagi,

"Siapakah diantara kita diantara mereka sejak baligh pernah meninggalkan  solat tahajjud walaupun satu malam"

Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh. Beliau adalah sebaik-baik raja yang telah disabdakan oleh Rasullulah saw dalam hadisnya kira-kira 825 tahun yang lalu.

Inilah Golden Horn (Tanduk Emas) Laluan Kapal Al Fatih 'belayar' di darat ntuk menyerang Konstantinopel dari belakang


Kuasa Jihad dan Pengorbanan Abu Ayyub al-Ansari
Abu Ayub al-Ansari ra adalah sahabat Rasulullah daripada kaum Ansar. Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Unta beliau berhenti diatas kehendak Allah dihadapan rumah Abu Ayyub sebagai tempat penginapan Rasulullah.

Gambaran artis  bagaimana kapal laut Muhammad Al Fateh "di layarkan" diatas darat yg berbukit. Ia dilakukan pada waktu malam dan sebanyak 70 kapal berjaya di 'layarkan' menuju selat Tanduk Emas (Golden Horn)

Abu Ayub al-Ansari tidak pernah terlepas daripada menyertai mana-mana peperangan sejak zaman Rasulullah saw sehingga ke zaman Khalifah Muawiyah. Dalam peperangan menyebarkan syiar Islam ke Constantinople, Abu Ayub al-Ansari tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Peperangan tersebut berlaku pada 674M semasa pemerintahan Muawiyah. Ketika itu, umur Abu Ayub sangat tua iaitu lebih 80 tahun. Miskipun uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta dalam kempen bersejarah tersebut. Peperangan  tersebut diketuai oleh anak kepada Muawiyyah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiyyah. 
Dalam peperangan  tersebut, Abu Ayub mengalami kecederaan yang sangat teruk. Beliau ditanya oleh panglima tentera  Islam, Abu Yazid bin Muawiyyah  "Adakah tuan mahu wasiatkan apa-apa sebelum kematianmu wahai Abu Ayub?"

Abu Ayyub menjawab, 
"Sampaikan salamku kepada seluruh tentera Islam dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Constantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka (tentera Kristian Rom Byzantine) di bumi Konstantinople".

Kemudian apabila keadaannya berada dalam keadaan cukup tenat, beliau berwasiat untuk dikuburkan di luar tembok Constantinople. Ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan di tembok tersebut, beliau berkata kepada panglima tentera  Umaiyyah:
"Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda"
Makam Abu Ayyub Al Ansari, Sahabat Rasullullah yang menunpangkan rumahnya selama 8 bulan ketika  Rasullullah berhijrah ke Madinah. Makam Abu Ayyub  di Istanbul Turki

Kata-kata akhir daripada Abu Ayyub tidak terhenti di situ tapi terus diingati. Berita kematiannya semasa peperangan di Konstatinople tersebar seiring wasiat akhinya. Ia masih diingati dan terus menerus disebar secara lisan sehinggalah ke zaman pemerintahan kekhalifahan  Uthmaniyyah.

Selepas kemenangan di Konstanitopel kisah makam Abu Ayyub diluar kota Constantinople telah menarik minat Sultan Muhammad Al-Fateh. Ingin benar beliau menemui makam sahabat nabi itu. Untuk makluman, kemenangan peperangan kali ini merupakan percubaan kali ke 11 oleh tentera Islam sejak dari zaman Khalifah Muawiyah lagi. Untuk itu, Sultan Muhammad  telah meminta nasihat daripada guru agama beliau, Sheikh  Shamsuddin. Ulama ini kemudiannya bertawajjuh dan bermimpi menemui kubur Abu Ayyub al Ansari.

Sultan Muhammad Al Fateh memerintahkan tenteranya mencari kubur Abu Ayyub dan setelah menjumpai kuburnya beliau mengarahkan digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik. Selepas digali, tentera menjumpai bahagian kakinya terlebih dahulu. Disini Sultan Muhammah Al Fateh mengarahkan tenteranya mencium kakinya yang fizikalnya masih segar.

Walaubagaimanapun, Sultan Muhammad Al Fateh gagal menciumnya tatkala mahu mencium, tiba-tiba kaki itu tertarik ke dalam tanah semula dan kejadian ini berlaku sebanyak 3 kali beturut-turut. Pada malam itu, Sultan Muhammad al Fateh bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al Ansari. Abu Ayyub berkata kejadian itu berlaku kerana rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad Al Fateh . Padanya, tidak layak orang yang berjaya menawan kota Konstantinopel dan realisasikan hadis nabi mencium kakinya yang gagal menjejakkan kaki ke dalam kota Konstantinopel.

Selepas itu, Sultan Muhammad al Fateh mewajibkan semua tenteranya meziarahi makam Abu Ayuub al Ansari sebagai motivasi pembakar semangat sebelum pergi ke mana-mana medan jihad menghadapi tentera Eropah ke atas Kerajaan Uthmaniyyah.


Kisah lanjut Makam Abu Ayyub Al Ansari boleh di baca di SINI


Masjid Sultan Ahmed  (Masjid Biru) yang dibina berhadapan dengan Hagia Sophia
Lebih ramai yang bergambar dari solat di Masjid ini. Syukur, aku dapat solat jamak Zohor & Asar dalam Masjid ini
Dibina pada tahun 1609 dan siap 8 tahun kemudian.
Masjid ini dibina pada zaman Sultan Ahmed selepas 1100 tahun pembinaan Hagia Sophia (537M)

Bab ke 2 "Istanbul...Aku Datang" akan menceritakan pengalaman pengembaraan ku di kota yang penuh bersejarah dan rebutan banyak kuasa dunia... Byzantine, Constantinopel, Rom Timur. Baca pengalaman di Istanbul  di SINI
"Ya... Aku telah datang ke Istanbul dan menawan kota ini".

8 comments:

  1. salam..tq for sharing...saya baca satu persatu,,moga Allah murahkan rezeki saudara terus mengembara dan bercerita..amin

    ReplyDelete
    Replies
    1. ameen... moga diberi kekuatan dan idea untuk menulis

      Delete
  2. Teruskan menulis dalam pengembaraan tuan..

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete