Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 2 : Panggilan Haji




Travelog Haji 2 : Panggilan Haji

Perjalanan haji ku bermula pada Oktober 2007, ketika itu usia saya  hampir menjangkau 33 tahun. Satu usia yang agak muda untuk memikirkan melakukan ibadah haji pada ketika itu. Namun saya telah beberapa kali diingatkan oleh Ayah ku menyuruh mendaftar  haji kerana tempoh menunggu giliran sudah semakin lama. Tambahan pula, Ayah mentua  pun baru pulang dari menunaikan haji pada Januari 2007. Kisah pengalaman yang menarik dan keseronokan  ibadah haji sentiasa segar didengari dari orang-orang yang hampir dengan ku.

Kerapkali apabila saya balik ke kampung ku  Merlimau Abah akan bertanya, 

"Syad, dah daftar haji ke belum? Daftar aje,  kalau dah dapat pergi tapi belum bersedia boleh tangguh dan bagitahu TH tahun yang dah sedia untuk ke Haji.  Sekarang bukan macam dulu... daftar tahun ini, tahun ini juga boleh dapat pergi. Kuota haji TH dah macam syarat wajib haji”

Kawasan Mataf selepas Isyak. 2 minggu sebelum wukuf. Sudah ramai jemaah

Itulah pesanan dari ayahku untuk memujuk supaya saya mendaftar haji. Akhirnya, saya bernekad untuk mendaftar haji dan  saya berjaya memujuk isteri ku untuk sama-sama mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji Johor Bahru. Selepas mendaftar haji, seperti yang telah dijangkakan, tempoh menunggu giliran ialah selama 10 tahun. Saya dijangkakan akan berangkat pada  tahun 2017. Ini beerti, ketika itu usia saya ialah 42 tahun. Saya diberi buku Panduan Umrah dan Ibadah haji oleh petugas kaunter Tabung Haji.  Sesekali cuba membelek buku tersebut, namun pemahaman yang lebih baik ialah dengan menghadiri kursus bersiri yang dianjurkan secara percuma oleh TH.

Adalah menjadi satu kelegaan kepada diriku apabila pulang ke rumah selepas mendaftar haji. Ia seolah-olah jika ditakdirkan nyawa ku diambil oleh Allah, sekurang-kurangnya saya telah mempunyai niat untuk menunaikan Rukun Islam ke 5, hanya faktor kuota haji sahaja yang tidak membolehkan saya menunaikannya.  

Setiap kali menziarahi saudara-mara yang baru balik haji mereka akan berpesan pada ku supaya menunaikan haji pada usia muda kerana ibadah haji memerlukan banyak pergerakkan fizikal dan mencabar mental kerana terlalu ramainya manusia pada masa tersebut dan cuaca yang berbeza dengan Malaysia memerlukan daya tahan penyakit yang kuat. Pesanan ini sedikit sebanyak memberikan azam kepada ku iaitu  perlunya  menunaikan rukun Islam kelima pada usia yang masih muda dan tenaga yang masih kuat. Ketika mendaftar haji tahun 2007, saya baru mempunyai 2 anak (3 sebenarnya kerana seorang telah meninggal dunia).  Anak saya yang  yang paling tua Iffah Syafiah baru berusia 4 tahun dan yang kedua Nisa Adilah 1 tahun setengah. 

10 tahun menunggu giliran haji adalah satu tempoh yang lama. Kami pun mulalah membuat tabungan sedikit-demi sedikit. Setiap kali musim haji tiba, saya mula mencongak-congak bilakah giliran saya akan tiba. Perasaan teruja ingin menjadi sebagai Tetamu Allah kadang-kala timbul secara tiba-tiba dalam hati ku apabila tiba musim haji setiap tahun.

Tahun 2011, dari desas-desus saya dengari, tempoh menunggu giliran haji sudah menjangkau 30 tahun.  Jemaah haji yang telah mengerjakan haji pula perlu menunggu 5 tahun untuk mendaftar semula selepas pulang. Ketika itu, saya sudah ada tiga anak kecil yang saya rasakan perlu mendaftarkan haji untuk mereka supaya mereka dapat pergi menunaikan haji pada usia yang masih muda. Alhamdulillah, sebenarnya saya telah pun membuka akaun tabung Haji untuk anak-anak ku seawal usia mereka masih bayi lagi dengan  membuat potongan gaji ku untuk dimasukkan ke akaun mereka. 

Tabungan yang ku buat kepada anak-anak ini asalnya lebih kepada bertujuan untuk pembelajaran mereka kelak dan juga sebagai pelaburan. Kali ini tanpa berbincang dengan isteri, saya terus ke pejabat TH Johor Bahru dan mendaftar Haji ketiga-tiga anak ku.  Seperti yang telah dijangkakan, mereka perlu menunggu 30 tahun lagi dan dijangka akan menunaikan Haji pada tahun 2041, iaitu ketika Iffah berusia 38 tahun, Nisa  berusia 35 dan Aina berusia 33 tahun. Harap-harap pada usia tersebut kesemua mereka telah mendirikan rumah tangga dan Suami merekalah yang akan menjadi Mahram. Kalau tak pun, pada 2041 saya akan berusia 67 tahun dan mudah-mudahan umurku masih panjang dan  masih lagi kuat jika diperlukan menjadi mahram untuk mereka. Mungkin ini adalah peluang untuk aku menunaikan haji kali ke 2? Insyaallah...jemputan menjadi tetamu adalah urusan Allah. 

Tahun 2013, saya di kurniakan lagi seorang anak perempuan, Sarah Sofea. Semasa Sarah berusia 1 tahun setengah, saya mendaftarkan haji untuknya dan tempoh menunggu sudah menjangkau 52 tahun iaitu pada tahun 2065. Ya Allah, kau panjangkanlah usia anak ku agar Sarah dapat menunaikan haji ketika  usianya 54 tahun. Pada ketika usia Sarah 54 tahun, mungkin saya telah kembali ke menemui pencipta. Jika dipanjangkan usia, ketika tahun 2065  saya berusia 92 tahun. Jika ditakdirkan saya masih hidup pun mungkin dah tiada daya dan tenaga  yang kuat untuk melakukan ibadah haji.

Tahun 2016, tempoh menunggu giliran haji sudah menjangkau lebih 90 tahun. Satu tempoh yang dirasakan tidak masuk akal logik dimana cuba bayangkan bayi yang lahir  tahun 2016,  perlu menunggu 90 tahun untuk menunaikan Haji, itu pun jika ibu dan ayah mereka mendaftar anaknya sebaik sahaja selepas kelahiran. 

Ketika saya di Madinah,semasa sesi  taklimat oleh pegawai TH, ada jemaah bertanya,
“Kalau dah tunggu giliran  90 tahun, bila masa boleh pergi?”  

Pegawai TH menjawab “Itu bukan urusan TH, banyakkan berdoa pada Allah mudahan waris-waris kita semua dapat menjadi tetamuNya”

Namun, bagi saya itu bukanlah satu jawapan yang memuaskan hati. Ada negara yang hanya perlu menunggu 5 tahun, ada negara hanya menunggu 10 tahun dan ada negara menunggu 25 tahun. Warga Saudi lebih mudah, tapi  kita rakyat Malaysia perlu menunggu 90 tahun untuk menunaikan haji? OIC perlu menyemak semula pemberian kouta Haji mengikut negara.

Nampaknya, urusan haji sekarang ini sudah menjadi tanggungjawab Ibubapa untuk mendaftarkan haji anaknya!

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com



Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:



Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment