Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 25: Selamat Tinggal Madinah



Travelog Haji 25: Selamat Tinggal Madinah

Malam ini kami akan berangkat pulang ke Malaysia. Bas dijangkakan akan bertolak ke Airport jam 11 malam. Rakan sebilik telah mulai mengemas beg masing-masing. Malah ada jemaah yang terpaksa pos barang ke Malaysia kerana beg sudah terlalu penuh dan berat sudah melebihi 30kg. Saya tidak terkecuali dan mula mengemas barang dan mencari-cari cenderahati untuk diberikan kepada saudara-mara dan sahabat handai. Riyal masih ada di dompet.
Di Masjid Quba'  Madinah

Pagi terakhir, rutin kami seperti biasa kami  ke Masjid Quba bersolat Dhuha dan tahiyatul Masjid. Rutin kami sama hampir setiap hari di Madinah. Subuh- Masjid Quba- Zohor-Asar-Maghrib-Isyak. 4 kali menunggu untuk ke Raudah, belajar mengaji bersama guru Quran sementara menunggu Maghrib dan selepas Maghrib dan beberapa kali jalan-jalan melihat kedai-kedai sekeliling Madinah. Hampir semua peniaga boleh memahami Bahasa Malaysia dan ada antara mereka yang menghulurkan tangan untuk bersalam dan selepas itu menarik saya masuk ke kedainya. Tiada pembantu kedai kaum wanita disini. Kedai baju wanita, kedai Abaya, kedai emas, restaurant  malah kedai apa pun disini, semua pekerja adalah lelaki. Mana wanita Arab?
Setiap Isnin dan Khamis akan ada jamuan buka puasa di Masjid Nabawi


Isyak pada malam ini ada solat yang terakhir dan ini adalah solat yang ke 40 untuk jemaah KT26. Tidak ada jemaah KT26 yang dapat lebih dari 40 waktu kerana ketika sampai di Madinah kami bermula solat jemaah yang pertama pada waktu Subuh dan berakhir pada hari ke 8 pada waktu Isyak.
Selepas Maghrib saya melakukan ziarah wida’ di Makam Rasullullah. Saya memohon agar di murahkan rezeki kami agar dapat lagi berziarah, Saya membaca doa ini,

Ya Allah, jangan jadikan ziarah ku ini pada tempat yang mulia ini sebagai yang terakhir. Kurniakan kepada ku peluang untuk menziarahi kembali ke Madinah dalam keadaan sihat dan baik. Jika panjang umur, insyaallah,aku akan datang lagi. Jika telah sampai ajal ku, aku telah mengabdikan kepada Mu syahadah dan perjanjian ku hari ini hingga hari kiamat iaitu Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.   
Mengikuti kelas bacaan Al Quran secara talaqqi ke Masjid Nabawi

Selepas isyak, saya melangkah keluar ke masjid dengan perasan bercampur baur. Gembira dapat bertemu semula dengan anak-anak namun bersedih meninggalkan kota Madinah. Jam 11 bas telah sampai di perkarangan hotel dan pengurus Al Haram Hotel bersalaman dengan semua jemaah di dalam bas degan mengucapkan selamat tinggal dan moga mendapat haji yang mabrur.
Jam 5 pagi di Airport, pengumuman dibuat untuk memasuki pesawat. Pengumuman masuk pesawat dan Azan subuh diwaktu yang sama. Aku, Aza  dan beberapa jemaah lain cepat-cepat menunaikan solat subuh di perkarangan tempat menunggu di Lapangan Terbang. Alhamdulillah, sempat juga solat Subuh sementara ada jemaah yang sedang beratur menaiki pesawat MAS mula penerbangannya ke KLIA.


Selamat tinggal Madinah. Insyaallah, kami akan ziarah lagi.

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:




Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment