Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 26: Bercinta dalam Menjalani Ibadah



Travelog Haji 26: Bercinta dalam Ibadah

Seorang wanita tidak dibolehkan melakukan ibadah haji tanpa mahram, meskipun dia berangkat bersama para wanita dan seorang lelaki yang dipercayai. Hadis sahih telah melarangnya, seperti sabda Rasulullah S.A.W,

Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita  melainkan bersama wanita itu mahramnya”. Tiba-tiba seorang     lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang dan isteriku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isterimu (menunaikan haji)” [Muttafaqun alaihi – HR Bukhari dan Muslim]

Kami perlukan pengesahan sijil nikah dari Jabatan Agama Islam bagi membolehkan visa Haji dikeluarkan. Namun, bagi wanita berusia lebih dari 45 tahun dibenarkan menunaikan Haji tanpa Mahram. Saya tidak pasti peraturan ini , namun Muzakarah Haji membuat keputusan untuk membenarkan wanita berusia 44 tahun keatas menunaikan Haji tanpa Mahram. 
Dimasjid Quba' Madinah


Kami memulakan hari kami hampir setiap hari Mulai dari jam 3 pagi. Kami sama-sama ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.  Rutin kami apabila sampai dalam  kawasan Masjid kami akan membuat janji untuk bertemu di satu lokasi ditentukan. Selipar kami di masukkan dalam sarung yang sama seolah-olah satu janji supaya  kami sama-sama akan pulang bersama.

Kami akan bertawaf sunat berpegangan tangan dengan berlapik supaya tidak berpisah di tengah-tengah ribuan jemaah lain. Tiap kali bertemu jemaah yang tawaf secara berkumpulan, kami akan cepat-cepat melarikan diri supaya tidak masuk dalam kumpulan jemaah yang gemar membaca zikir dengan suara yang kuat. Boleh tersasul bacaan zikir kita kalau dah bertembung dalam kumpulan ini. Kami akan sentiasa mengingatkan jumlah pusingan tawaf supaya tidak terkurang. Selepas tawaf dan solat sunat tawaf, kami akan sama-sama meminum air zam-zam  dan menunaikan solat sunat. 

Disetiap pusingan, kami akan berdoa dan dan membaca zikir bersama-sama. Walaupun bersesak-sesak dan kadang-kala berlaku tolak-menolak, namun ini adalah sesuatu yang lumrah apabila orang terlalu ramai. Lagi kuat orang lain menolak, lagi erat pegangan tangan kami (awas, jangan sampai menyentuh kulit suami isteri). Semua orang yang berada di kawasan mataf  dalam tujuan yang sama dan hala yang sama iaitu melakukan tawaf mengikut arah lawan jam.
 
Selepas menunaikan Umrah... kami sentiasa bersama

Selepas bersolat, kami akan bersama-sama membeli sarapan dan balik ke Hotel dan membentang tikar dihadapan bilik dan minum bersama. Tiada apa yang hendak dimalukan di sini kerana semua orang saling memahami  dan semua orang juga melakukan perkara yang sama, baik yang muda ataupun yang tua... iaitu makan bersama di hadapan bilik penginapan dengan membentang tikar seolah-olah seperti berkelah di tepi pantai. Situasi seperti ini tidak ada dilakukan di mana-mana hotel didunia ini.

Ini adalah suasana biasa di Hotel Muassasah TH di Makkah.
bentang tikar & Makan bersama pasangan di hadapan bilik.

Tempat makan tidak mencukpi

Diwaktu lain, kami akan sama-sama ke kedai serbaneka untuk membeli barang keperluan, menyimpan stok makanan  atau melihat-lihat barangan-barangan yang diperagakan di kedai-kedai. Sesekali, kami mencuba makanan di restoran-restoran yang terdapat di food court di Safwah Tower di Makkah atau disekitar Masjid Nabawi. Ia sesuatu yang menyeronokkan dimana keberduaan kami sukar untuk diperolehi di Malaysia.

Masa bersama untuk berdua bagi kami di Malaysia amat terbatas dengan komitmen kerjaya masing-masing dan melayan karenah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian dari kami. Di Tanah Haram, masa kami berdua amat banyak. Kekadang merasakan masa dengan rakan sebilik hanya muncul ketika waktu ingin tidur ataupun semasa sedang bersiap untuk ke Masjid. Kami berdua berada di dunia terasing dari rakan sebilik, malahan disini, tiada siapa pun kisah apa yang kita nak buat.
Sentiasa berdua kemana-mana


Sesuatu yang indah yang telah kami alami semasa dan sesudah menunaikan fardhu haji ialah rasa cinta dan kasih sayang semakin mendalam antara kami. Lebih banyak perkara yang di kongsikan dan boleh diceritakan. Apa yang pasti selepas pulang ke Malaysia, kami berdua sama-sama amat merindukan kepada tempat ini… iaitu kami rindukan untuk menatap Kaabah, Kamia akan merindukan untuk bertawaf selepas solat sobuh dankami akan merindui untuk bersolat di Masjidil Haram.


Ya Allah bersama aku nanti adalah isteriku, kami pergi ke rumahmu  semata-mata untuk beribadat dan mendapat rahmatmu. Jangan engkau palingkan niat dan tujuan kami, jangan kau sukarkan perhubungan kami berdua, berikanlah kasih sayang, cinta mencintai antara kami, saling bermaafan dan tidak cepat tersinggung dan bermasam muka. Moga kami saling memahami antara satu sama lain.

Diluar Masjid Alharam diantara Masjid baru dan pintu Marwah

Saya akui, ada sedikit perselisihan, namun sedangkan lidah lagikan tergigit. Alhamdulillah, berkat doa, perselisihan menjadikan kami lebih saling menghormati dan ikatan kasih sayang semakin kemas umpama pegangan tangan kami. Alhamdulillah, hari-hari yang dipenuhi dengan rasa kasih sayang dan cinta yang mendalam. Ia adalah anugerah Allah yang Maha Esa kepada hambanya.

Link ke  Travelog Haji 27: Pengertian Haji Mabrur

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment