Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 6: Surat Jadual Penerbangan

Travelog Haji 6: Surat Jadual Penerbangan

Beberapa hari sebelum Hari Raya 2016, ada beberapa jemaah haji  telah menerima surat penerbangan Haji. Semuanya adalah Jemaah yang ke Madinah dahulu. Saya dan Aza memilih untuk ke Makkah terlebih dahulu. Kenapa saya memilih ke Makkah dulu? Ini kerana terdapat beberapa cerita dari Jemaah sebelum ini yang mula merasa keletihan dan sudah mula rasa rindu kepada kampung halaman apabila sudah berada lama di Tanah Suci untuk menunggu hari wukuf. 

Tambahan pula, kami tidak mahu tergesa-gesa untuk terus pulang ke Malaysia sebaik selepas hari Tasyrik. Bagi wanita, mereka perlu dalam keadaan suci untuk melengkapkan Haji mereka dan jika mereka dalam keuzuran sebelum dapat melakukan tawaf, mereka perlu menangguhkan jadual penerbangan balik. Jadi, kami memilih ke Makkah dahulu walaupun kami tahu jutaan manusia telah berada di Makkah  semasa kami  sampai kelak.

Jemaah Haji terpilih digalakkan untuk like FB TH
kerana update Haji akan di masukkan di sini

Sepuluh hari lepas raya, kami masih belum menerima apa-apa surat dari TH. Saya mencuba menghubungi TH dengan menulis diruang komen di FB TH mengenai status surat penerbangan. Keesokannya komen saya dibalas oleh TH dan meminta hubungi TH atau layari www.e-thijari.com.my untuk maklumat lanjut. Saya terus hubungi TH untuk mengetahui status penerbangan saya, namun jawapan yang diberikan oleh Staf Khidmat Pelanggan agak menghampakan apabila beliau menyatakan surat penerbangan diberikan secara berperingkat dan jadual penerbangan saya belum lagi ada di dalam sistem mereka. 



Ketika baru sampai di Jeddah. Gambar diambil dari dalam bas ke terminal.
Mulai 2016, TH menggunakan pesawat A380.

Selepas 2 hari menelefon TH, kali ini  saya cuba log in di e-thijari.com.my dirumah untuk mengetahui status penerbangan saya. Selesai memasukkan maklumat yang diperlukan oleh system, kali ini saya tidak hampa… surat yang ditunggu-tunggu sudah terpapar di depan skrin komputer.  Surat Jadual Penerbangan (SJP) baru sahaja di keluarkan pada hari pada saya log-in di ethijari.com.my. Ini bermakna surat jadual penerbangan baru sahaja di keluarkan pada hari yg sama hari saya log-in. 

Saya pun mencetak surat tersebut dan membaca berulang-ulang kali untuk mempastikan ini adalah surat kepada diriku. Tanpa saya sedar, air mata kegembiraan mengalir deras dari mata ku. Ya saya menangis kegembiraan. Aku menangis sepuasnya. Sudah lama saya tidak menangis sebegini. Menangis tanpa suara... terlalu kegembiran.  Tiada kata-kata yang boleh digambarkan ketika membaca Surat Jadual Penerbangan (SJP) ini.
Saya terus berwuduk dan mengadakan solat sujud syukur di ruang tamu rumah kerana telah menerima surat jadual penerbangan.  Malahan, ketika menulis ini  bab ini, mata ku terus “dimasuki habuk” mengenangkan kegembiraan ku apabila menerima SJP. Kami akan berangkat pada 19 Ogos 2016 (Jumaat) dan ini merupakan penerbangan yang pertama ke Makkah iaitu KT26J. 
  
Inilah Surat Jadual Penerbangan (SJP) yang membuatkan aku menangis kegembiraan. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan kegembiraan apabila membaca surat ini.


Ketika kami sampai di Makkah nanti, ada lebih kurang 21 hari lagi sebelum wukuf (wukuf pada 11 September 2016).  Tahun ini adalah pertama kali TH menggunakan pesawat Airbus 380 (kapal terbang 2 tingkat)  yang boleh memuatkan 480 jemaah dalam satu penerbangan. Menurut TH,  technical team & kemudahan mendarat untuk pesawat A380 hanya berada di KLIA sahaja. Semua penerbangan dari negeri lain akan transit ke KLIA  terlebih dahulu dan kami perlu menukar ke pesawat A380 di KLIA sebelum ke Makkah. 

Suasana ketika sedang menunggu bas ke Mekah di Terminal Haji Jeddah



Seminggu selepas mengetahui tarikh penerbangan, barulah surat ini diterima dari  melalui Pos.


Kami memilih untuk membuat Haji Tamattuk. Dam telah kami bayar sebelum berangkat TH di Johor Bahru. Nilai dan seekor kambing (2016) ialah RM506.  Agak sukar untuk membuat haji Ifrad kerana tempoh wukuf yang masih jauh iaitu 21 hari lagi ketika kami tiba di Makkah. Namun, ada 2 orang jemaah yang sama penerbangan membuat haji Ifrad. Saya tahu mereka membuat Haji Ifrad pun secara kebetulan apabila menegur mereka yang berpakaian ihram kerana sangka ku mereka baru balik dari menunaikan umrah… rupanya mereka berniat haji ifrad. Susah juga apabila 21 hari dalam ihram, tidak boleh berpakaian biasa, tidak boleh potong kuku, perlu menjaga rambut dari gugur dan perlu patuh kesemua 13 larangan dalam Ihram… tapi itulah haji yang terbaik.

Dapatkan full version Travelog Haji dari msyazli@gmail.com. PERCUMA


Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:



Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment