Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 5: Persiapan Kerohanian



Travelog Haji 5: Persiapan Kerohanian


Halangan terbesar untuk menunaikan haji pada zaman sekarang ini (tahun 2016) bukan lagi terletak pada wang dan harta. Wang ringgit bukanlah lagi ukuran  kemampuan seseorang itu untuk menunaikan Haji. Kalau pada zaman sebelum kemerdekaan hinggalah awal tahun 80an, mungkin kemampuan kewangan adalah salah satu faktor utama untuk menunaikan haji. Namun, pada hari ini rata-rata orang Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menabung RM10,000, apatah lagi sekarang ini masih lagi mendapat subsidi dari Tabung Haji sebanyak RM8,990 seorang bagi haji kali pertama (subsidi tahun 2016).  

Seringkali di ucapkan oleh penceramah semasa berkursus, menunaikan ibadah Haji pada zaman sekarang  ini mungkin kali pertama dan terakhir bagi setiap Jemaah Malaysia (kecuali petugas haji atau mereka yang mempunyai tugasan /bekerja di Makkah). Tempoh menunggu giliran yang terlalu lama adalah merupakan halangan paling utama Jemaah Malaysia untuk menunaikan  serta ketidakmampuan Kota Makkah untuk menerima jutaan Jemaah dari serata dunia pada satu-satu musim haji. Apa-apa pun, jika Allah memilih kita sebagai tetamunya, tidak mustahil kita akan dijemput olehNya lagi. Oleh itu, setiap Jemaah perlulah berusaha untuk membuat rayuan pada TH disamping memohon doa dari Allah agar menjadi tetamuNya. 

Kompleks Masjd Al Haram dari hotel Qasr Al Janadriyah di waktu malam

Sebaik menerima surat dari TH sebagai Jemaah Haji  terpilih, kami mula membuat persiapan kerohanian. Membaca buku-buku berkaitan haji, mendengar ceramah haji di Youtube dan solat berjemaah cuba saya jadikan amalan disamping memohon doa agar dipermudahkan segala-galanya. Saya juga berazam seboleh-boleh akan menjaga solat berjemaah ku terutama Subuh  dan Isyak. Sebelum ini saya bangun pagi hanya apabila azan subuh berkumandang. Sudah tentulah tak sempat ke Masjid kerana perlu membuat persiapan dan pembersihan  diri. Kebiasanya hanya pada bulan Ramadhan ajelah yang saya akan pergi ke Masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah.  Itu pun kalau tak tertidur selepas bersahur.

Lazimnya, diwaktu pagi punyai masa amat terhad terutama pada hari bekerja kerana saya perlu membantu menyiapkan sarapan anak-anak, kain baju perlu disidai  dan menghantar anak ke sekolah. Segalaya perlu siap sebelum jam 6.45 pagi. Namun, dengan izin Allah apabila saya bernekad untuk sama-sama berjemaah Subuh di Masjid, semua urusan-urusan tersebut mampu saya buat dan siapkan seperti sebelum ini dan Alhamdulillah,  Solat Subuh berjemaah di Masjid menjadi rutin harianku diawal pagi. Apabla sesuatu perbuatan itu telah menjadi rutin, kita akan merasa janggal apabila meninggalkannya. Apa lagi, isteri dan anak-anaklah menjadi jemaah apabila si ayah terlewat ke Masjid.

Segalanya mampu untuk kita buatkan kalau kita betul-betul ikhlas kerana Allah. Ramai Jemaah di Masjid Taman Perumahan ku pada waktu subuh sudah pun siap memakai pakaian kerja, ada beberapa pelajar sekolah yang telah siap beruniform, pemandu bas sekolah berhenti bersolat… jadi apa lagi alasan aku untuk tidak berjemaah Subuh? Saya yang menentukan masa saya sendiri untuk menunaikan solat subuh di Masjid. Syukur Alhamdulillah, dari rumah ku ke tempat kerja tidaklah berapa jauh Cuma ada kesesakan diawal pagi untuk sampai awal ke pejabat.

 Doa yang dibaca beberapa bulan sebelum berangkat:-
Ya Allah, aku memohon agar kami di terima sebagai TetamuMu, tetamuMu yang istimewa, permudahkan urusan haji kami, permudahkan perjalanan kami,  jagalah kesihatan dan keselamatan anak-anak kami,jangan kau uji kami dengan ujian yang tidak mampun kami hadapi,  janganlah kau cetuskan perasan rindu mereka terhadap kami. Berikanlah kami guru agama dan mutawif yang berilmu untuk mengajar kami.


Dapatkan full version Travelog Haji dari msyazli@gmail.com. PERCUMA

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:



Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment