Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 23: Mengusung Jenazah ke Baqi



Travelog Haji 23: Mengusung Jenazah ke Baqi'


Di Makkah dan Madinah, hampir setiap waktu solat akan dibuat solat Jenazah. Allah telah memberi ku satu ilham yang baru. Selama ini saya hanya melakukan solat Jenazah sahaja dan kenapa saya tidak bersama-sama untuk mengiringai jenazah bersama-sama ke Baqi'? Pagi itu selepas subuh saya bernekad untuk mengiringi jenazah dan saya solat di pintu keluar berhampiran dengan Maqam Rasullullah.

Sebaik sahaja selepas solat Jenazah,saya terus keluar dari Masjid dan mencari dimana jenazah tersebut. Lantas, bila saya ternampak sahaja  jenazah sedang diusung, saya berlari-lari turut sama mengusung jenazah tersebut sehinggalah ke liang lahat dan sama-sama mengkebumikannya. Ini adalah pengalaman pertama ku mengusung jenazah di Bumi Madinah menuju ke perkuburan Baqi'. Sungguh hening suasana awal pagi di Baqi'. Suasana masih lagi gelap dan terdapat lampu sementara untuk memudahkan urusan pengkebumian.


Jenazah diusung secara berlari anak menuju ke Baqi di Madinah

Di Madinah, jenazah diusung dan dibawa ke perkuburan Baqi sambil berlari-lari anak. Letih juga mengusung sambil berlari, namun puluhan Jemaah yang turut menghantar sama-sama bergilir-gilir mengusung jenazah. Tidak ada tempat kosong di keranda tersebut. Jemaah sentiasa berebut-rebut mengiringi jenazah tersebut. Tiba-tiba saya merasa sayu dan sebak apabila mengusung jenazah. Mengapa? Hati ini teringat saat kematian ku nanti. Adakah seramai ini orang akan solat untuk ku? Adakah cukup amalan ku untuk dibawa menemui Tuhanku?

Juga tiba-tiba teringat arwah Mak yang meninggal dunia ketika usia saya 9 tahun. Saya masih kecil lagi ketika itu untuk mengangkat keranda. Saya masih ingat lagi ketika mana jenazah ibuku dikebumikan. Hujan turun mencurah-curah sewaktu jenazah ibuku dikebumikan. Al-fatihah untuk ibuku Hajjah Rosidah Ibrahim yang dikasihi. Beliau pergi menunaikan Haji dengan Abah pada tahun 1981 meninggal dunia pada ketika usia 38 tahun. Alhamdulillah, dapatlah saya membuat umrah untuk arwah Mak. Semoga Allah mengampun segala dosa Arwah Mak dan dimasukkan ke SyurgaMu bersama orang beriman dan beramal soleh.
Suasana selepas subuh. Ada jenazah sedang dikebumikan dan aku mengirinya sehingga di perkuburan




Kawasan perkuburan ini dibuka untuk ziarah selepas waktu solat fardhu Asar dan Subuh.  Hanya lelaki dibenarkan masuk.  Selain dari waktu tersebut, pintu pagar masuk ke kawasan perkuburan Baqi` akan ditutup.  Moga-moga dengan menziarahinya hati kita kuat ingat akan mati dan mengenangkan nasib kita pada Hari Akhirat.

Jika kita mendapat peluang menghantar jenazah ke kuburan, rebutlah peluang tersebut.  Biasanya selepas solat fardhu di Masjid Nabawi akan diadakan solat jenazah dan sejurus selepas itu terus dihantar jenazah tersebut ke perkuburan Baqi` yang terletak bersebelahan masjid sahaja.  Besar ganjaran buat sesiapa yang dapat mensolatkan jenazah dan menghantarnya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa menghadiri jenazah sampai jenazah itu disolatkan, maka ia mendapatkan satu qirath.  Dan barang siapa menghadirinya sampai jenazah itu dikuburkan, maka ia mendapatkan dua qirath.”
Ada sahabat yang bertanya: “Apakah dua qirath itu?”
Rasulullah SAW bersabda:  “Sama dengan dua gunung yang besar”
(Sahih Muslim)
Selepas Subuh di Baqi'. Baqi hanya di buka 2 kali sehari iaitu selepas Subuh dan Asar

Madinah adalah kota yang aman dan mendamaikan. Keamanan mengebabkan ramai Jemaah menyantaikan diri dan rileks. Misalnya, dalam keadaan Masjid yang sentiasa banyak ruang untuk solat didalamnya, masih ramai Jemaah yang memilih untuk bersolat diluar bangunan masjid. Malah ada jemaah yang bertanyakan kepada pegawai TH sama ada ada surau di Hotel  walaupun jarak Masjid hanyalah kurang dari 100 meter. Pegawai TH dan Pembimbing Haji seringkali perli jemaah-jemaah yang culas ke Masjid ketika sesi taklimat diadakan.  Tapi, agak-agaknya jemaah yang culas  solat di Masjid ni datang ke dengar taklimat? Entahlah. Saya tidak perlu mengulas. Anda fikirlah sendiri. 

Saya akui, ramai antara Jemaah yang sudah hilang keterujaan untuk beribadah kerana sudah mula memikirkan kampung halaman. Perasaan itu kekadang ada juga pada diri saya, namun saya tetap paksakan diriku untuk terus beristiqamah untuk melakukan yang terbaik sepanjang Haji ini. Seringkali saya berpesan pada diri sendiri inilah haji pertama dan terakhir saya. Peluang haji kali kedua mungkin sukar bagi orang biasa seperti saya ini. Saya perlu buat yang terbaik. Mungkin ramai Jemaah beranggapan Haji pun sudah selesai dan ziarah Madinah ini hanyalah amalan sunat sahaja. Wallahualam

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment