Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 17: Semangat Membantu di Makkah



Travelog Haji 17: Semangat Membantu di Makkah

Antara sikap yang terpuji bangsa Arab ialah mereka suka bersedekah dan nilai sedekah mereka itu bukanlah sedikit. Hampir setiap hari ada sahaja lori-lori atau kenderaan pick-up akan memberhentikan kenderaan dan memberikan air, biskut, buah-buahan atau makanan kepada jemaah secara percuma. Ini adalah suasana yang lazim di Makkah.
 
Salah sebuah lori sedang mengedarkan Air Mineral kepada para Jemaah berhampiran Al Haram. Ini merupakan permandangan biasa dermawan-dermawan Arab


Beberapa hari selepas hari selesai ibdaah haji, bermulalah keberangkatan pulang jemaah-jemaah haji yang telah sampai dari penerbangan awal. Ada seorang warga emas meminta saya untuk menyorong kerusi roda untuk membuat tawaf wida’.  Saiz badannya agak besar dan saya pun tidak mengenali beliau. Mula-mula saya terdetik kenapa dia tidak menyuruh TH mencarikan petugas untuk upah tolak? Berderet-deret petugas di Masjidil Haram menanti jemah-jemaah yang uzur untuk ditawarkan perkhidmatan kerusi roda.  

Pada mulanya, saya menolak permintaan beliau kerana kebetulan kami telah merancang untuk melakukan umrah pada pagi tersebut, namun selepas beberapa jam, timbul perasaan bersalah pada diri saya yang telah berjanji pada diri sendiri untuk membantu jemaah lain. Allah telah menjemput ku menunaikan haji diwaktu yang masih kuat dan sihat. Kenapa saya tidak membantu jemaah yang memerlukan bantuan? Rasa bersalah dan menyesal muncul dalam diri ini. Setelah berbincang dengan Aza, saya benekad harus membantu warga emas tersebut.

Menolak kerusi roda untuk Pak Abas ke tempat melontar jamrah. Jarak 7 km return. Ini ketika di Mina


Lalu saya mencari semula warga emas tersebut dibiliknya. Saya terlupa namanya dan tidak tahu dimana biliknya. Saya hanya ingat  tingkat sahaja. Alhamdulillah, Allah permudahkan usaha mencarinya. Syukur, beliau ada dibiliknya dan saya  menyatakan kesanggupan saya untuk membantunya. Alhamdulillah, tepat jam 3.30 pagi pada hari yang dijanjikan kami  ke Masjidil Al Haram. Jalan dari hotel  ke Masjid Al Haram bukannya rata dan ada tangga yang perlu dilalui dari Hotel. Apa yang menyentuh perasaan saya, setiap kali saya sampai ke kawasan yang berbukit, ada sahaja jemaah haji  yang entah dari mana yang akan membantu menyorong kerusi roda  bersama-sama (kerana saiz warga emas ini agak besar). Apabila sampai dikawasan tangga, ada juga jemaah (tanpa diminta tolong) yang sama-sama membantu saya mengangkat kerusi roda keatas. Kesemua pertolongan itu hadir walaupun tanpa diminta. Lebih menarik, kesemua mereka bukanlah warga Malaysia. Inilah kelebihan Makkah. Bumi Makkah ini penuh dengan kerahmatan!

Suasana ketika hari pertama melontar di Jamratul Aqabah

Saya bukan sahaja dapat membantu warga emas ini membuat tawaf wida’, malah saya juga berniat tawaf sunat. Dan Allah swt memberi kekuatan kepada diri ku untuk terus membuat umrah pada pagi itu juga. Kami menahan menaiki teksi untuk miqat ke Masjid Tanaem dari depan pintu Hotel. Dalam teksi tersebut sudah ada 2 jemaah (dari raut muka, mungkin dari Pakistan) dan kami berkongsi  bayaran tambang pergi balik ke Tanaem dengan warga Pakistan tersebut walaupun tidak mengenali satu sama lain. Harga tambang tetap sama untuk satu teksi. Rahmatnya bumi yang penuh keberkatan ini!

Pintu masuk Maktab 86 di Mina. 3 malam di sini untuk ibadah melontar

Kisah Kedua. Ketika bertawaf, ramai jemaah yang bersesak-sesak di kawasan Mataf. Pada satu ketika ada sekumpulan jemaah wanita yang ingin keluar dikawasan Mataf. Mungkin agaknya mereka sudah setelah selesai tawaf. Tiba-tiba  ada seorang jemaah ini telah melanggar saya dan dia terjatuh betul-betul dihadapan saya. Saya agak tergamam ketika itu dan rasa bersalah kerana tidak memberi laluan kepada jemaah wanita tersebut. Tapi hakikatnya jika saya berhenti member laluan, saya pula akan ditolak oleh orang dari belakang. Sebelum ini  sering diceritakan kalau terjatuh semasa bertawaf, kemungkinan kita kena pijak. Ternyata kisah ini hanya cerita-cerita terpencil. Wanita yang terjatuh itu terus dipapah oleh ramai jemaah disekeliling yang membantu mengangkat semula supaya beliau dapat bangun semula dan meneruskan untuk keluar dari kawasan mataf. Maafkan aku Hajjah, aku tidak memberi ruang untuk kamu untuk berjalan keluar.

Kisah ketiga, saya membantu seorang warga emas untuk ke tempat jamrah denagn menolak kerusi roda ke tempat melontar di jamrah.  Boleh baca di [Travelog 15-klik]


Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gamil.com. Gratis
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment