Travelog
Haji 3: Surat Jemputan
Ketika musim haji tahun 2015, saya menerima
undangan kenduri doa selamat dari jiran yang akan berangkat ke tanah suci. Dari
perbualan saya dengan tuan rumah, beliau memberitahu yang dia mendaftar haji pada
tahun 2007 dan bakal Jemaah yang daftar dari Januari- Jun akan menerima surat
panggilan Haji 2015. Perkhabaran dari jiranku ini membuatkan saya berasa
jantung saya berdebar-debar… saya pun mendaftar tahun 2007 namun belum
terima apa-apa surat dari TH pun. Entah-entah seminggu dua lagi dapat surat
dari TH. Bulan apa saya mendaftar pda tahun 2007? Semasa membaca yassin
dan tahlil hati saya mula rasa tidak tenteram. Rasa teruja pun ada juga. Kalau
minggu depan terima surat panggilan haji, bersediakah aku? Adakah saya akan
terima surat panggilan tahun ini? Atau tahun depan saya akan dipanggil?
Ilmu Haji memang tak banyak. Kursus haji langsung
tak pergi.. pada ketika ini mula teringat pesanan Abah supaya pergi ke kursus
haji awal bagi memantapkan ilmu haji.
Sekembalinya saya ke rumah pada malam itu, saya
terus memberitahu isteriku mengenai perkara tersebut. Kami pun mendaftar tahun
2007, tapi bulan apa? Saya terus menyemak di laman web TH di www.e-thijari.com.my mengenai giliran
haji. Syukur, tertera di skrin yang kami dijangkakan Jemaah terpilih pada
tahun 2016 iaitu lagi setahun. Tidak cukup dengan pengesahan dari web, tidak
lama selepas itu, saya ke pejabat TH pula untuk mengetahui status giliran kami.
Ya, petugas kaunter menyatakan giliran kami ialah pada tahun 2016.
Alhamdulillah… saya pun mula pasang angan-angan yang kami akan menerima
surat jemputan pada tahun 2016.
Pada November 2015, kami menerima surat dari Tabung
Haji… Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... penantian selama 9
tahun nampak sudah hampir sampai penghujungnya. Saya dan isteri adalah jemaah
haji terpilih bagi tahun haji 1437H atau tahun 2016M. Tidak ada kata-kata yang
yang boleh menggambarkan perasaan kami ketika itu. Abah sudah sering
berpesan supaya pergi ke kursus haji walaupun giliran belum sampai lagi.
Tujuannya supaya ilmu haji itu mantap sebelum berangkat… tapi hakikatnya saya terpaksa
seringkali bertugas pada hujung minggu dan menyukarkan ku untuk meninjau kursus
Haji yang diadakan pada hujung minggu.
Kursus haji bermula pada 1 Januari 2016 selama 17
siri. Saya mempunyai pilihan untuk memilih lokasi dan hari berkursus kerana di
Johor Bahru terdapat 6 lokasi kursus haji dijalankan pada hari yang
berbeza-beza iaitu Jumaat, Sabtu dan Rabu malam. Hari dan lokasi yang
berbeza memang banyak membantu saya yang seringkali terpaksa bertugas outstation
pada hujung minggu. Kursus haji yang pertama saya memilih untuk ke Masjid Kg
Melayu Majidee yang diadakan pada haru Jumaat. Kedudukan Masjid ini yang agak
jauh dari rumah ku. Pemilihan kursus pada Jumaat kerana saya akan menghantar Iffah yang
telah diterima ke Tingkatan satu ke sekolah asrama
pada Sabtu.
Jadual kami pada Sabtu agak padat. Seringkali dalam dilemma untuk pergi kursus haji bersama
isteri kerana cuti mingguan saya
ialah pada hari Jumaat & Sabtu dan isteri pula cuti Sabtu &
Ahad. Hari Sabtu pula Iffah perlu
hadir ke Kelas Agama Darjah Khas (Di Johor sahaja ada Peperiksaan Sijil Darjah
Khas Agama). Saya perlu mengambilnya dari asrama setiap minggu untuk membolehkan
Iffah hadir ke kelas Darjah Khas di sekolah agama berhampiran rumahku. Jika
kami memilih untuk pergi kursus pada hari Sabtu, kami perlu membawa anak-anak
lain yg berusia 9, 7 dan 3 tahun ke Masjid untuk sama-sama berkursus.
Jika saya memilih kursus hari Jumaat, pun sama juga perlu membawa anak-anak
mendengar kursus.
Jadual kursus kami sentiasa berubah-ubah
setiap minggu. Jika saya pergi pada Jumaat, Iffah yang sudah berusia 13 tahun
perlu menjaga adik-adiknya dirumah kerana isteriku bekerja. Jika kami memilih
pada Sabtu, semua anak-anak perlu ikut sekali berkursus kerana Iffah ke kelas
Darjah Khas. Banyak kali juga kami berdua pergi kursus pada hari berlainan. Saya
pergi kursus pada Jumaat dan Aza pergi kursus pada hari Sabtu. Dan banyak kali
juga anakku mengikut kami hadir kursus.
Jika saya outstation, saya akan mencari tempat
kursus yg terhampir dengan tempat saya outstation. Ada satu ketika saya bertugas
di KL pada hujung minggu. Lokasi
terhampir untuk berkursus haji ialah di Masjid KEMENTAH di Keramat. Bagaimana
dengan tugas ku semasa hadiri kursus haji? Tempoh kursus hanya 2 jam
sahaja & ramai teman sepejabat boleh membantu semasa ketiadaan ku. Itulah
keindahan ibadah haji. Allah akan membantu kita dan menunjukkan jalan untuk
kita. Ada sekali saya ke luar negara selama 4 hari, jadi minggu tersebut saya ke kursus yang
diadakan pada Rabu malam. Jadual kursus & topik yang sama pada tiap minggu
seluruh Malaysia memudahkan saya untuk boleh berada dimana-mana untuk
hadiri kursus walaupun tidak berada di JB pada minggu tersebut. Jadual dan
lokasi kursus boleh di dapati web TH.
Alhamdulillah, Allah permudahkan semua urusan kami.
Semua kursus asas haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji dapat
dihadiri dengan jayanya tanpa ponteng walaupun sekali.
Link ke Travelog Haji 4: Gagal Pemeriksaan Kesihatan
Link ke Travelog Haji 4: Gagal Pemeriksaan Kesihatan
Jika anda berminat mendapatkan catatan Travelog Haji 1 - Travelog Haji 26 secara percuma, email kepada msyazli@gmail.com |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment