Travelog Haji 26: Bercinta dalam
Ibadah
Seorang wanita
tidak dibolehkan melakukan ibadah haji tanpa mahram, meskipun dia berangkat
bersama para wanita dan seorang lelaki yang dipercayai. Hadis sahih telah
melarangnya, seperti sabda Rasulullah S.A.W,
Jangan seorang
wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian
seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu
mahramnya”. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai
Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang dan isteriku pula
hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu
bersama isterimu (menunaikan haji)” [Muttafaqun
alaihi – HR Bukhari dan Muslim]
Kami
perlukan pengesahan sijil nikah dari Jabatan Agama Islam bagi membolehkan visa
Haji dikeluarkan. Namun, bagi wanita berusia lebih dari 45 tahun dibenarkan
menunaikan Haji tanpa Mahram. Saya tidak pasti peraturan ini , namun Muzakarah Haji membuat
keputusan untuk membenarkan wanita berusia 44 tahun keatas menunaikan Haji
tanpa Mahram.
Kami
memulakan hari kami hampir setiap hari Mulai dari jam 3 pagi. Kami sama-sama ke
Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Rutin
kami apabila sampai dalam kawasan Masjid
kami akan membuat janji untuk bertemu di satu lokasi ditentukan. Selipar kami
di masukkan dalam sarung yang sama seolah-olah satu janji supaya kami sama-sama akan pulang bersama.
Kami akan
bertawaf sunat berpegangan tangan dengan berlapik supaya tidak berpisah di
tengah-tengah ribuan jemaah lain. Tiap kali bertemu jemaah yang tawaf secara
berkumpulan, kami akan cepat-cepat melarikan diri supaya tidak masuk dalam
kumpulan jemaah yang gemar membaca zikir dengan suara yang kuat. Boleh tersasul bacaan zikir kita kalau dah bertembung dalam kumpulan ini. Kami akan
sentiasa mengingatkan jumlah pusingan tawaf supaya tidak terkurang. Selepas
tawaf dan solat sunat tawaf, kami akan sama-sama meminum air zam-zam dan menunaikan solat sunat.
Disetiap
pusingan, kami akan berdoa dan dan membaca zikir bersama-sama. Walaupun
bersesak-sesak dan kadang-kala berlaku tolak-menolak, namun ini adalah sesuatu
yang lumrah apabila orang terlalu ramai. Lagi kuat orang lain menolak, lagi
erat pegangan tangan kami (awas, jangan sampai menyentuh kulit suami isteri).
Semua orang yang berada di kawasan mataf dalam tujuan yang sama dan hala yang sama
iaitu melakukan tawaf mengikut arah lawan jam.
Selepas
bersolat, kami akan bersama-sama membeli sarapan dan balik ke Hotel dan
membentang tikar dihadapan bilik dan minum bersama. Tiada apa yang hendak
dimalukan di sini kerana semua orang saling memahami dan semua orang juga melakukan perkara yang
sama, baik yang muda ataupun yang tua... iaitu makan bersama di hadapan bilik
penginapan dengan membentang tikar seolah-olah seperti berkelah di tepi pantai. Situasi
seperti ini tidak ada dilakukan di mana-mana hotel didunia ini.
Ini adalah suasana biasa di Hotel Muassasah TH di Makkah. bentang tikar & Makan bersama pasangan di hadapan bilik. Tempat makan tidak mencukpi |
Diwaktu
lain, kami akan sama-sama ke kedai serbaneka untuk membeli barang keperluan,
menyimpan stok makanan atau
melihat-lihat barangan-barangan yang diperagakan di kedai-kedai. Sesekali, kami
mencuba makanan di restoran-restoran yang terdapat di food court di Safwah
Tower di Makkah atau disekitar Masjid Nabawi. Ia sesuatu yang menyeronokkan
dimana keberduaan kami sukar untuk diperolehi di Malaysia.
Masa bersama
untuk berdua bagi kami di Malaysia amat terbatas dengan komitmen kerjaya
masing-masing dan melayan karenah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang
dan perhatian dari kami. Di Tanah Haram, masa kami berdua amat banyak. Kekadang
merasakan masa dengan rakan sebilik hanya muncul ketika waktu ingin tidur
ataupun semasa sedang bersiap untuk ke Masjid. Kami berdua berada di dunia
terasing dari rakan sebilik, malahan disini, tiada siapa pun kisah apa yang
kita nak buat.
Sentiasa berdua kemana-mana |
Sesuatu
yang indah yang telah kami alami semasa dan sesudah menunaikan fardhu haji
ialah rasa cinta dan kasih sayang semakin mendalam antara kami. Lebih banyak
perkara yang di kongsikan dan boleh diceritakan. Apa yang pasti selepas pulang ke Malaysia,
kami berdua sama-sama amat merindukan kepada tempat ini… iaitu kami rindukan
untuk menatap Kaabah, Kami akan merindukan untuk bertawaf selepas solat subuh dan kami akan merindui untuk bersolat di Masjidil Haram.
Ya
Allah bersama aku nanti adalah isteriku, kami pergi ke rumahmu semata-mata untuk beribadat dan mendapat
rahmatmu. Jangan engkau palingkan niat dan tujuan kami, jangan kau sukarkan
perhubungan kami berdua, berikanlah kasih sayang, cinta mencintai antara kami,
saling bermaafan dan tidak cepat tersinggung dan bermasam muka. Moga kami
saling memahami antara satu sama lain.
Saya
akui, ada sedikit perselisihan, namun sedangkan lidah lagikan tergigit. Alhamdulillah,
berkat doa, perselisihan menjadikan kami lebih saling menghormati dan ikatan
kasih sayang semakin kemas umpama pegangan tangan kami. Alhamdulillah,
hari-hari yang dipenuhi dengan rasa kasih sayang dan cinta yang mendalam. Ia
adalah anugerah Allah yang Maha Esa kepada hambanya.
Link ke Travelog Haji 27: Pengertian Haji Mabrur
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
Link ke Travelog Haji 27: Pengertian Haji Mabrur
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
Terbaik. Alhamdulillah.
ReplyDeleteTerbaik. Alhamdulillah.
ReplyDeleteMantap,,,& Alhamdulilah,,pak haji,,
ReplyDelete