Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 14: Sukarnya Mencari Batu di Mudzalifah

Travelog Haji 14: Sukarnya Mencari Batu di Mudzalifah


Selepas Maghrib, jemaah mula meninggalkan Arafah menuju ke Madzalifah.  Kami dari KT26 diarahkan berangkat dengan bas yang terakhir sekali ke Mudzalifah. Sampai di Mudzalifah lebih kurang jam 10 malam dan kawasan khas di Maktab 86 sudah dipenuhi dengan jemaah yang sampai lebih awal. Puas kami mencari tempat untuk dibentangkan alas tikar  untuk berehat dan bermabit (bermalam). Kebanyakkan jemaah sudah mulai tidur dan berbaring. Tempat yang masih kosong ada dihadapan tandas. Kurang selesa pula nak bermabit depan tandas. Akhirnya dapat jugalah membentangkan alas tikar kami, tapi kami terpaksa berhimpit dengan jemaah lain dan kami berada di kawasan  laluan orang ramai. 
Bermabit (bermalam)  di Mudzalifah. Sunnah mencari batu (70 biji) disini
Selepas setengah malam ( kira-kira 12 malam) barulah bertolak ke Mina

Timbul satu masalah lagi, dimana nak cari  batu? Kawasan Mudzalifah di Maktab 86 tidaklah begitu terang walaupun lampu spot light merata di kawasan ini. Puas juga kami menguis-kuis pasir, namun tidak banyak batu yang ada. Kami perlu mencari 70 anak batu untuk melakukan melontar pada hari Tasyrik (7 biji hari pertama, 21 biji hari kedua-keempat). Banyak tempat sudah dipenuhi dengan Jemaah. Yang tinggal hanyalah laluan-laluan untuk ke tandas.  Akhirnya ada seorang jemaah menegur kami dan menunjukkan kawasan yang banyak batu. Namun, kawasan tersebut juga telah dipenuhi oleh dengan tikar alas jemaah yang telah sampai lebih awal. Mereka telah menutupi kawasan yang ada banyak batu. Terpaksalah kami menebalkan muka dengan meminta izin dari jemaah yang telah baring disitu untuk mencari batu dicelah-celah tikar mereka. Maaf Tuan Haji dan Puan Hajjah, kami terpaksa mencelah dikawasan ini dan menggangu masa rehat tuan. Rupanya kawasan batu-batu yg disediakan  telah ditutupi dengan alas tikar. 

Sebelum berangkat, aku sering tertanya,

“Tak-habis-habis ke batu di kawasan Mudzalifah ini? Tiap tahun jutaan jemaaah haji mengambil batu kat sini?”  

Jawapannya ialah, batu-batu ini diletakkan semula oleh phak berkuasa Arab Saudi dan disesetengah tempat ia seperti longgokan menimbun batu-batu dikawasan pembinaan. Disini pentingnya lampu suluh agar batu yang kita pilih adalah batu yang sebenarnya, bukannya batu simen konkrit.
Penuh sesak di Mudzalifah... mana batu?
Rupanya di bawah tikar alas jemaah.
Jemaah haji janganlah bentang tikar dikawasan ada batu ye..
Sambil menunggu waktu separuh malam, kami terlelap seketika. Apabila terjaga dalam jam 2 pagi, kelihatan sudah ada jemaah telah menaiki bas. Itu ke bas ke Mina? Langsung tiada pengumunan dari TH seperti kebiasaan ketibaan bas di Mudzalifah. Jemaah mengambil tindakan sendiri menaiki bas apabila bas telah sampai selepas waktu setengah malam. Petugas TH pun entah ke mana. Saya pun memanggil Aza dan kami beratur disalah satu pintu perlepasan dan terus menaiki bas ke Mina. Kami yakin itu bas yang betul kerana ada stiker 86 dicermin hadapan bas.  Aku amat simpati pada warga tua dan OKU kerana disini masing-masing hanya memikirkan diri sendiri untuk menaiki bas dan hendak cepat sampai ke Mina selepas bersesak di Mudzalifah. 

Perjalanan ke Mina lancar walaupun ramai  jemaah negara lain yang berjalan kaki ke Mina dari Mudzalifah. Sebelum kami meninggalkan Mudzalifah, masih ramai lagi jemaah Maktab 86 yang masih lagi tidur dan bermabit di atas tikar beratapkan langit. Mungkin mereka tidak tahu bas telah pun memulakan perjalanan ke Mina.

Link ke   Travelog Haji 15: Kerusi Roda ke Jamrah

Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email ke msyazli@gmail.com
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment