Travelog Haji 24: Hari-hari
Terakhir di Madinah
Masa berjalan begitu pantas sekali. 8 hari di
Madinah terasa sekejap berbanding 35 hari di Makkah. Rakan-rakan jemaah sudah
mula bersiap-siap dan berkemas. Kami perlu menghantar beg bagasi 1 hari lebih awal
ke Lapangan Terbang bagi memudahkan urusan daftar ke pesawat. Wajah-wajah
ceria sudah jelas kelihatan dikalangan
jemaah dan mula bercerita mengenai urusan tugasan, anak-anak dan masakan Malaysia. Tempoh 47 hari terasa begitu cepat
sekali.
Saya sendiri tidak dapat memberikan perasaan
sebenar, Bercampur-baur antara ingin meninggalkan bumi Madinah dan kerinduan
kepada anak-anak. Siapa yang tidak rindu pada anak apatah lagi empat anak yang
ku tingglkan masih kecil lagi dan perlukan kasih sayang ibu dan ayah. Anak-anak
ku berusia 13, 10, 8 dan 4 tahun masih lagi terlalu kecil untuk memahami
pengorbanan Haji yang sebenarnya. Iffah mungkin sudah memahami, namun tetap
merasakan yang kami pergi terlalu awal berbanding dengan Nenek dan Atuknya yang
pergi ketika semua adik-beradik Aza sudah dewasa.
Kain Ihram ku sebanyak 4 helai sudah memenuhi separuh beg. Hendak
ditinggalkan terasa sayang. Lagi pun 2 kain ihram saya pinjam dari Abah.
Akhirnya saya membuat keputusan untuk pos sebahagian barang ke Malaysia kerana
bag sudah tidak boleh memuatkan barang-barang kami dan pastinya barang yang saya
pos bukanlah barang-barang yang dibeli, tapi baju-baju lama dan kain ihram. Ini
kerana barang yang dipos mungkin tidak sempat sampai ketika kami tiba di tanah
air. Cenderahati, kurma, kacang, jubah yang dibeli di Makkah dan Madinah dibawa
balik bersama menaiki pesawat.
Ramai antara Jemaah jumlah begnya bertambah, malahan
ada jemaah yang bayaran pos hampir SR1,000, ini tidak termasuk harga barang
yang dipos. Saya hanya pos 1 kotak saiz sederhana dengan bayaran pos
kurang dari SR130. Jumlah beg kekal 2 sahaja iaitu beg bagasi dan beg bimbit.
Barang-barang jualan yang ada di Makkah dan Madinah tidak banyak menarik
perhatian saya. Semasa di Makkah, kami pun sudah pos 8 tong Air Zam-zam (10
liter) ke saudara-mara dan teman di Malaysia dan mereka dah pun menerimanya. Bagi ku inilah cenderamata (air zam-zam) yang memang tidak ada di Malaysia.
Ada
jemaah begnya bertambah. Bisnes Pos Malaysia semakin maju dan setiap hari
menimbun kotak-kotak yang telah siap untuk di pos ke Malaysia. Antara istilah-istilah
yang sering di gunakan oleh jemaah berseloroh untuk bershopping di Madinah ialah,
“Nak pergi tawaflah”
”Tawaf apa? – Tawaf KeeDai lah
“Nak pergi melontar, tapi batu
dah habis. Batu kat simpanan pun dah habis. (Batu merujuk kepada duit simpanan
di TH. Kaunter TH dibuka sehingga jam 10 malam setiap hari!)
Hakikatnya,
tiada ibadah tawaf dan melontar ketika di Madinah. Yang ada ialah melontar
Riyal dan tawaf KeeDaai. Walaupun tawaf dan melontar cara ini tidak diajar
semasa berkursus, namun jemaah Malaysia
tetap bijak melaksanakan dan mencari tempat ‘melontar’ yang terbaik walaupun tanpa mutawif malahan semasa di
Makkah pun, 2 perkara ini tetap menjadi kegemaran jemaah Malaysia sehinggakan
hampir semua pekerja-pekerja kedai di Makkah dan Madinah boleh berbahasa Melayu
dengan baik.
Nak bersolat ke Masjid Haram dikatanya panas...jauh, sakit kaki... nak jaga kesihatan sebelum wukuf, tapi pergi ‘melontar’ boleh pulak. Anda fikirlah sendiri. Aku no komen!
Nak bersolat ke Masjid Haram dikatanya panas...jauh, sakit kaki... nak jaga kesihatan sebelum wukuf, tapi pergi ‘melontar’ boleh pulak. Anda fikirlah sendiri. Aku no komen!
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment