Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 15: Menolak Kerusi Roda ke Jamrah

Travelog Haji 15: Kerusi Roda ke Melontar  Jamrah


Kami  sampai di Mina pukul sekitar 3.00 pagi. Sudah ada jemaah yang telah pun pergi ke tempat melontar dibawa oleh petugas TH. Dikhabarkan  jam 3.30 pagi ada trip oleh TH lagi ke tempat jamrah. Kami pun bersiap-siap  untuk ke tempat jamrah. Namun sebaik bersiap untuk ke tempat melontar, pengumuman di buat oleh TH tempat melontar penuh sesak dan jemaah diminta untuk balik ke Khemah masing-masing. Memang agak kecewa kerana ada jemaah yang telah menukar pakaian berjahit kerana telah selesai melontar dan  telah bertahallul Awwal.


Di Mina. Bersiap-siap untuk melontar pada hari pertama (10 Zulhijjah)


Pada tahun lepas, iaitu 2015, pada waktu kemuncak haji telah berlaku kejadian rempuhan manusia di kawasan Jamrah yang mengakibatkan kematian lebih 1,600 jemaah haji. Jadi pada tahun ini ramai jemaah yang merasa risau untuk ke tempat melontar. Keadaan dijangkakan sesak pada waktu Dhuha kerana itulah waktu yg afdal untuk melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah. Kami hanya menunggu arahan dari TH waktu yang sesuai untuk melontar.

Perjalanan ke tempat jamrah sejauh 7 km pergi dan  balik bukanlah satu perjalanan yang biasa dan perlu berjalan kaki dan cuaca yang panas.  Kira-kira jam 9 pagi, 10 Zulhijjah saya mendapati ada jemaah yang baru pulang dari melontar dan berikut dialog saya dengan Bang Saman,


Saya : Bang, ramai tak orang ke tempat Jamrah?
Bang Saman: Orang memang ramai tapi masih boleh bergerak dan boleh melontar
Saya: Bahaya atau tak kalau saya pergi sekarang?
Bang Saman: Apa kau nak takut? (dengan suara yg keras)  Kalau nak mati, kat khemah ni pun boleh mati. Tak perlu takut mati. Waktu Dhuha bukannya waktu untuk mati. Bila-bila boleh mati…
Saya: (hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk)

Melontar pada hari ke 2 dan  hari ke 3. Saya ke tempat melontar sekitar jam 3-4 petang. 
Lengang kan

Akhirnya, dengan persetujuan dengan isteri, kami hanya ke tempat jamrah pada jam 4 petang bersama-sama rakan sebilik isteri. Alhamdulillah, tidak sesak walaupun ramai orang dan kami dapat melontar di hadapan sekali. Dalam cuaca yang panas, askar-askar Saudi  menyembur air sejuk menggunakan tong dibelakang badan (seperti tong racun)  ke jemaah untuk mengurangkan sedikit rasa panas. Saya mewakilkan melontar dari Pak Abas, seorang warga emas dikhemah saya yang tidak dapat melontar kerana keuzuran.

Pada hari ke 3 melontar, saya melihat seorang warga tua wanita yang sedang menolak kerusi roda suaminya dalam kkeadaan yang kepenatan. Cuaca kepanasan dan jarak perjalanan yang sejauh 7 KM. Saya menawarkan diri untuk membantu beliau menolak kerusi roda dan saya merasakan sangat bersyukur dapat membantu jemaah lain. Sebaik sahaja sampai di khemah, saya menceritakan kepada rakan se-khemah mengenai bantuan  kepada warga emas tadi. Cerita ini didengari rakan sekhemah saya, iaitu Pak Abas dan aku baru tersedar yang Pak Ababs langsung belum pernah ke tempat jamrah lagi. Beliau hanya dia mewakilkan lontar kepada saya  atau isterinya. Pak Abas pula tidak pernah pula meminta dibawa ke tempat jamrah. Lalu Pak Abas pun membuka mulutnya kepada saya pada petang itu,

Pak Abas: Syazli, esok tolong tolak kerusi roda Pak Abas ke tempat Jamrah. Aku tak pernah tengoklah tempat jamrah tu.
Saya: No problem Pak Abas. Esok lepas subuh kita pergi.
Pak Abas: Ok set.


Sedang menolak kerusi roda Pak Abas ke tempat melontar


Pak Abas sebenarnya tidak boleh berjalan jauh. Berjalan 6-7 langkah, dia perlu berehat dan duduk sebentar. Beliau pernah kemalangan dan ada besi dalan kakinya. Namun, dia seboleh-bolehnya elakkan untuk menyusahkan jemaah lain. Apabila kita hendak membantunya, dia akan menolak dan berkata “ok..ok.. saya boleh jalan. Kau jalan dulu”

Hari terakhir melontar TH mengarahkan pergi melontar selepas subuh kerana bas ke Makkah akan bertolak seawal 8 pagi. Alhamdulillah, dapat juga membawa Pak Abas dengan kerusi rosa melihat tempat Jamrah dan dia sendiri melakukan lontaran ke tiga-tiga jamrah. Saya merasa syukur. Kesihatan dan kekuatan yang baik Allah beri pada ku, dapat juga saya membantu jemaah lain. Berjalan kaki ke tempat jamrah dari khemah Maktab 86 sejauh 7 km dengan cuaca yang panas, orang ramai, perlu melalui 3 terowong dan sekiranya anda berhenti, askar-askar Saudi akan memaksa anda untuk meruskan perjalanan kerana merka khuatir akan dirempuh oleh jemaah lain. Bagi mereka yang uzur, perjalanan ke jamrah amat sukar untuk mereka.  

Selesai melontar pada hari ke 4, sekitar jam 9 pagi kami bertolak ke Makkah untuk melakukan Tawaf haji dan Saie. Perjalanan ke Makkah lancar. Kami dapat melakukan Tawaf dan Saie haji sebelum Zohor. Alhamdulillah, sempurna sudah Haji ku tanpa ada kejadian yang tidak diingini. Syukur ... Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.

 “Ya Allah, Permudahkanlah segala urusan kami utk menunaikan ibadat haji sebelum keberangkatan, semasa & selepas  berada di tanah suci, berikanlah kami kesihatan yang terbaik sepanjang berada ditanah suci, jauhilah kami dari kecederaan, kemalangan dan rempuhan manusia” 
Inilah doa ini aku baca 4-5 bulan sebelum keberangkatan.  Amin







Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

2 comments:

  1. Alhamdulillah,perkongsian yang amat bermakna.terima kasih

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas pencerahan

    ReplyDelete