Travelog
Haji 12: Adoi… Kaki bengkak di Makkah!
Beberapa hari sebelum keberangkatan, saya dan
isteri mula menjalani latihan fizikal sebagai persediaan untuk ke Makkah. Kami
keluar dari rumah dengan berjalan kaki menuju ke taman permainan lalu berjogging.
Seringkali Aza tertinggal dibelakang dan saya mulalah mendesak supaya Aza
jogging laju sedikit.
“Aza,
kita kena jongging dan jalan laju sikit supaya kaki kita akan terbiasa dengan
perjalanan jauh nanti. Cepat..cepat sikit dan laju lagi”
Itulah kata-kata aku apabila Aza
selalu ketinggalan di belakang.
Pengalaman menunaikan umrah pada tahun 2000 sedikit
sebanyak saya berkongsi dengan Aza iaitu jemaah perlu mempunyai keupayaan
tenaga yang kuat untuk melakukan ibadah haji dan umrah. Untuk ke Masjid Al
Haram perlu berjalan 1 km sehala dengan cuaca yang terik, tawaf sunat perlu
bersesak-sesak dan tolak-menolak. Tempoh masa satu pusingan jika bertawaf di tingkat
atas selama 12 minit satu pusingan. Ini bererti untuk melengkapkan 7 pusingan
di tingkat atas memerlukan antara 1 jam 15 minit – 1 jam 20 minit. Saie
berulang-alik antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali 450m sehala berjumlah 3.5
km. Melontar perlu berjalan kaki sejauh 7 km sehari untuk ke tempat melontar
(haji sahaja).
Keterujaan untuk melakukan ibadah sebaik
sampai di Makkah memang tidak dapat dibendung lagi. Setiap hati rutin kami akan
bermula seawal jam 2.30 pagi untuk bersiap ke Masjidil Al Haram. Alhamdulillah,
bilik air tiada masalah bagi ku kerana biasanya sayalah orang pertama yang akan
bangun pagi. Biasanya jam 3 pagi kami bersama-sama berjalan kaki menuju ke Al
Haram. Semua amalan sunat seperti solat-solat sunat, membaca Al quran,
berzikir dapat dilakukan dengan selesa kerana pada minggu pertama ketibaan kami
jemaah seluruh dunia masih belum memenuhi Al haram. Kami akan balik ke hotel
apabila sudah melakukan tawaf sunat dan solat Dhuha. Selang 3-4 hari sekali
kami membuat Umrah sebelum tiba hari wukuf.
Selepas 5 hari di Makkah, kaki saya mulai terasa
sakit. Kedua-dua belah kaki mulai bengkak dibahagian atas tumit. Setiap langkah
terasa macam memijak duri yang tajam. Minyak urut yang dibawa dari Malaysia
mula disapu dibahagian yang sakit. Tak cukup dengan itu, saya pun pergi ke
Klinik TH Malaysia meminta ubat lain. Ubat yang sama juga diberi oleh Doktor.
Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pergerakkan saya. Saya mula tidak
selesa untuk melakukan tawaf sunat, malahan nak berjalan ke masjid Al Haram pun
terasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian kaki. Teringatlah saya kisah
di Malaysia semasa saya berjongging bersama Aza
“Aza.. laju sikit jongging, kat Makkah
nanti kita perlu banyak berjalan kaki. Kaki kita perlu dibiasakan dengan
berjalan supaya nanti di Makkah tidaklah rasa penat”
Aku menggeleng
kepala kerana Aza hanya berjalan dan tidak jogging!
Itulah kata-kata saya pada Aza setiap kali dia
tertinggal dibelakang.. sudahnya, kaki saya yang bengkak, namun Aza sihat
seperti biasa. Alhamdulillah, Allah masih sayang kepada saya untuk mengingati
hambaNya bahawa sakit dan sihat itu adalah ujian dariNya.
Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamumu,
tetamu yang paling istimewa. Permudahkanlah segala urusan kami utk menunaikan
ibadat haji sebelum keberangkatan , semasa & selepas berada di tanah
suci, berikanlah kami kesihatan yang terbaik sepanjang berada ditanah suci, jauhailah
kami dari kecederaan, kemalangan dan rempuhan manusia dan permudahkanlah urusan
makan dan minum kami.
Sempadan tanah haram di Masjid Aisyah (Masjid Tanaem) Ini adalah tempat Miqat paling hampir dari Masjid Al Haram (7 km) |
Walaupun kaki bengkak dan menyukarkan
perjalanan kaki, Alhamdulillah saya berjaya juga membuat 2 kali umrah dalam
tempoh kesakitan kaki. Saya memakai selipar jepun untuk dipakai semasa tawaf
dan saie untuk mengurangkan hentakan pada tumit. Walaupun jarak Safa ke Marwah
tidaklah terlalu jauh, namun saya terpaksa berehat 3 kali untuk menghabiskan
Saie. Semasa Saie, saya sudah terbayang untuk menyewa kerusi roda untuk
menghabiskan Saie. Sakitnya mencucuk-cucuk seperti dicucuk duri setiap langkah.
Memang ini adalah ujian Allah bagi hambanya yang lalai. Teringat saya
kisah semasa jogging bersama Aza sebelum berangkat ke Makkah. Apakah ini
‘bayaran tunai’ dari Allah? Allah masih
sayang kepada hambaMu ini. Saya masih mampu berjalan dengan perlahan-lahan
walaupun terasa mencucuk-cucuk.
Saya melihat bengkak di kaki sesuatu yang positif.
Selepas pulih dari bengkak, saya merasa lebih ligat lagi untuk
berjalan. Rasa sakit sudah tiada, malah kaki ku sudah menjadi lebih kuat dan
tidak berasa lenguh untuk berjalan kemana-mana. Malahan, perjalanan
menuju ke tempat jamrah sejauh 7 km, saya menawarkan diri untuk menolak kerusi
roda jemaah yang uzur yang saya jumpai di tengah jalan.
Alhamdulillah, setiap kejadian ada hikmahnya.
Alllah maha menyayangi hambanya yang bersyukur. Kesakitan kaki di peringkat
awal sampai ke Makkah adalah penawar untuk saya sepanjang berada di Makkah.
Saya boleh berjalan dengan lebih laju untuk menuju ke Masjid Al Haram.
Dapatkan teks penuh Travelog dengan email ke msyazli@gmail.com |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment