Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 22: Berbalah di Raudhah

Travelog Haji 22: Berbalah di Raudhah


Memasuki dalam kawasan Raudah di Masjid Nabawi masa musim haji memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Tempoh menunggu adalah  diantara 1.5 jam-2 jam diwaktu siang dan 45 minit-1 jam di antara jam 12 malam-4 pagi.  Sekadar informasi bagi pembaca yang belum sampaike Madinah, kawasan Raudah hanya berkeluasan 22m x 15m sahaja. Tidak besar dan amat kecil berbanding Jemaah yang berjumlah jutaan yang datang menziarahi Madinah.


Kedudukan Raudhah ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW,  
“Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman surga”
 (HR. Bukhari no. 1196).


Dikawasan saf  hadapan Makam Rasulullah. Baju celoreng adalah Askar Saudi yg berkawal di Masjid Nabawi
Kawasan yang kecil ini perlu direbut bersama ratusan ribu Jemaah dan dikawal oleh Polis Masjid Nabawi dengan menggunakan system penggiliran. Masa masuk untuk Jemaah wanita juga dihadkan kepada masa-masa yang tertentu sahaja iaitu selepas waktu Syuruk, selepas Zohor dan selepas Isyak.
Jemaah hanya diberikan masa antara 5-10 minit sahaja untuk berada dalam kawasan Raudhah sebelum diminta keluar oleh Polis Masjid Nabawi. Ada ketika Polis Nabawi melepaskan Jemaah yang ramai sekaligus ke Raudhah, kadang-kala hanya melepaskan sedikit jemaah sahaja dari tempat menunggu.  Masa menunggu yang lama saya penuhi dengan berniat iktiqaf dan perbanyakkan berselawat kepada Rasullullah.

 Satu ketika, semasa saya dapat memasuki kawasan Raudah kebetulan bilangan Jemaah yang dibenarkan masuk  begitu ramai. Maka ramailah Jemaah yang tidak dapat bersolat dan hanya boleh berdiri sahaja. Disebelah saya, seorang Jemaah warga India memarahi jemaah dihadapannya, seorang warga Malaysia kerana menghalangnya daripada solat. Beliau menolak-nolak Jemaah dihadapannya dengan menyuruh berganjak kehadapan. Berlakulah perbalahan antara mereka dan perbualannya seperti  antara ayam dan itik. Jemaah  India tersebut memarahi dalam bahasa Urdu dan Jemaah Malaysia membalas dalam bahasa Melayu. Antara dialog yang saya fahami,

“Kalau di hadapan tu ada kosong, awak pergilah solat kat sana..mana ada tempat lagi untuk solat?”

balas Jemaah Malaysia kepada warga India dengan nada yang amat marah selepas ditolak-tolak dan dimarahi oleh warga India tersebut kerana menghalangnya dari bersolat. Walaupun cakap berlainan bahasa, tapi mereka seolah-olah boleh memahami.

Dihadapan Makam Rasullullah


Saya yang berdiri disebelah warga India tersebut menepuk-nepuk perlahan belakangnya  memintanya bersabar kerana hakikatnya sudah tiada tempat untuk bersolat dan saya sendiri pun hanya mampu berdiri. Kita berada di kawasan Raudah, sebuah taman syurga, berhampiran dengan makam Rasullallah. Masuk ke Raudhah untuk memohon keampunan dan berdoa kepada Allah, tapi masih juga  Jemaah gagal mengawal perasaan. Mengapa perlu meletakkan perasaan marah disini? Kita mampu menunggu 2 jam untuk masuki ke Raudah, namun atas ujian yang sedikit ini, kita meletakkan kepentingan diri dengan bertelagah sesama sendiri dikawasan yang begitu mulia. Bukan ke boleh berdiri sambil berdoa atau berzikir. Perlukah melakukan solat di kawasan Raudhah jika keadaan yang sesak tidak mengizinkan?  Tunggulah sebentar, bersabarlah,  Insyaallah tetap dapat giliran solat dan polis yang menjaga kawasan Raudhah tahu yang anda belum dapat solat lagi.  Bagi Jemaah yang dapat solat dengan selesa, cukuplah 2 rakaat, jangan pula sambung lagi hanya kerana tidak ‘dihalau’ oleh Polis Nabawi. Bertimbang rasa dan berilah peluang pada orang lain. Tapi hakikatnya, bila semua orang sudah berebut-rebut, semuanya hanya mementingkan diri sendiri sahaja.


Akhirnya selepas 5 minit berdiri ada Jemaah yang sudah keluar barulah ada ruang kosong dan kesemua yang berdiri dapat bersolat.  Alhamdulillah, cukuplah saya dapat 2 rakaat sahaja kali ini. 

Link ke Travelog Haji 23: Mengusung Jenazah ke Baqi'
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment