Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 20: Tawaf Wida' - Selamat Tinggal Makkah



Travelog Haji 20: Tawaf Wida' - Selamat Tinggal Makkah


Selepas hampir 37 hari, tibalah masanya untuk kami meninggalkan kota Makkah dan bertolak ke Madinah untuk melakukan ziarah. Nabi SAW telah bersabda,

 “Sesiapa yang menunaikan fardhu haji ke Baitullah Al Haram dan tidak menziarahi aku, sesungguhnya ia menjauhkan dirinya daripada aku” Di riwayatkan oleh at-Tabrani

Sepanjang kehidupan ku, tidak ada satu ketika yang paling menyedihkan bagi berpisah dengan sesuatu tempat kecuali Masjidil Haram. Saya akan rindukan Kaabah. Melihat Kaabah sahaja sudah mendapat 20 rahmat. Sudah pasti akan merindui suara imam-imam Masjidil Haram yang lunak dan merdu  yang membaca  ayat-ayat Al-quran semasa mengimamkan solat. Pernah sekali saya merasa sebak kerana mendengar suara Imam Abdul Rahman Al-Sudais secara live. Inilah suara imam Al Haram yang sering kali ku dengari di pembesar suara Masjid di Malaysia. Selama ini saya hanya mendengar bacaan mereka dari CD ataupun dari corong radio  dan selama lebih 30 hari kami mendengar secara ‘live’ dengan telinga kami sendiri bacaan Quran dari imam-imam Masjid Al haram. Manakan sama mendengar dari radio dengan secara live.

Bas menuju ke Madinah. Singgah solat Asar di perjalanan. Suasana pemandangan hanya padang pasir

Kami akan merindui suasana ‘kelam-kabut’ mereka mencari saf-saf solat dan tempat-tempat mustajab untuk berdoa dan melakukan ibadah. Kami juga merindui untuk melakukan tawaf sunat yang kami dapat lakukan hampir setiap hari (kecuali ketika sakit kaki). Dan yang paling kami rindui ialah kami mempunyai kekuatan untuk bangun seawal 2.30 pagi pada hampir setiap hari untuk bersama-sama ke Masjidil Haram pada jam 3 pagi untuk melakukan solat sunat, mengaji, iktikaf, berzikir dan tawaf sunat  sehinggalah waktu Dhuha sebelum balik semula ke Hotel.

Kami akan merindui untuk bertawaf dan  suasana bersesak-sesak mencari saf.

Kami diberitahu oleh pegawai TH bas akan berangkat ke Madinah pada jam 2 petang, jadi Jemaah di nasihatkan untuk membuat tawaf wida’ sebelum Zohor dan solat zohor di Hotel. Selepas tawaf wida’ , tidak boleh lagi solat wajib di Masjidil Haram dan jika jemaah solat zohor selepas wida’, ini boleh membatalkan tawaf wida’ kecuali waktu solat telah masuk selepas sahaja habis tawaf wida’. Ingat, mengambil gambar walaupun selfie, membeli barang cenderahati, memberi sedekah, tidur di bilik hotel, solat sunat selain solat tawaf semuanya boleh membatalkan tawaf wida’! (Muzakarah 2016)

Setelah berbincang dengan Aza, kami sepakat untuk melakukan tawaf wida' selepas sahaja solat zohor kerana waktu zohor masuk pada jam 12.15 tengahari. Insyaallah, sempat lagi solat wajib terakhir di Makkah sebelum membuat tawaf wida’. Hari ini  kami solat zohor dikawasan Mataf bagi memudahkan untuk melakukan tawaf sebaik selepas solat.

Aku merindui suasana seperti ini. Ribuan manusia menuju ke Masjid al Haram

Tengahari itu, kami melakukan tawaf wida’ bersama. Selama ini pun kami tawaf bersama, tapi tidak pernah bertawaf di kala panas terik tengahari di tempat terbuka mataf. Aku mengagahi diri ini untuk bertawaf di bawah cuaca panas terik. Oh.. rupanya ada petugas Al Haram  yang memberi air zam-zam kepada jemaah yang sedang bertawaf pada waktu tengahari. Ini adalah tawaf saya yang terakhir untuk musim haji tahun ini. Terasa sungguh syahdu.  Kami membayangkan kami telah melaksanakan bertawaf hampir setiap hari sejak dari hari pertama datang, kini sudah sampai masanya untuk berpisah. Tanpa saya sedari, air mata ini mula membasahi tanpa dipaksa. Doa  ku bacanya agar ini bukanlah ziarahku yang terakhir. Ya Allah, kau jemputlah saya menjadi tetamu lagi. Murahkan rezeki ku. Aku ingin membawa semua ahli keluarga ku untuk menjadi tetamuMu. Kau jemputlah kami lagi.

Selepas habis tawaf, kami mencari tempat di belakang Multazam dan melakukan solat sunat tawaf dan  berdoa,

“Ya Allah Ya Tuhanku, jangan jadikan tawaf dan ziarah ini sebagai yang penghabisan di Baitullah. Jika sekiraya ditakdirkan sebagi yang terakhir, maka aku mohon syurga sebagai gantinya dengan kemurahan dan rahmat Mu. Ya Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang”

Selepas berdoa, kami berdua bangun meninggal Masjidil Haram dengan penuh kesedihan dan pengharapan agar doa kami dimakbulkan agar ziarah ini bukanlah ziarah yang terakhir bagi kami. Ya Allah, kau makbulkanlah doa kami. Tidak ada istilah malu dan segan untuk mengalirkan air mata disini. Tidak ada apa yang kami harapkan selain dari pengampunan dari Allah swt dan di kurniakan kami syurga Mu dan semoga Allah terima haji kami. Kehidupan selepas kematian adalah kekal yang abadi. 

Alhamdulillah, bas yang dijanjikan pada jam 2 petang datang tepat pada waktunya, namun kami hanya bergerak ke Madinah kira-kira jam 4 petang selepas semua 11 bas KT26 dipenuhi. Selamat tinggal Makkah… Insyaallah kami akan datang ziarah lagi. 

Link ke Travelog Haji 21:Madinah yang Damai
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment