Travelog
Haji 25: Selamat Tinggal Madinah
Malam ini kami akan berangkat pulang ke Malaysia.
Bas dijangkakan akan bertolak ke Airport jam 11 malam. Rakan sebilik telah
mulai mengemas beg masing-masing. Malah ada jemaah yang terpaksa pos barang ke
Malaysia kerana beg sudah terlalu penuh dan berat sudah melebihi 30kg. Saya
tidak terkecuali dan mula mengemas barang dan mencari-cari cenderahati untuk
diberikan kepada saudara-mara dan sahabat handai. Riyal masih ada di dompet.
Pagi terakhir, rutin kami seperti biasa kami
ke Masjid Quba bersolat Dhuha dan tahiyatul Masjid. Rutin kami sama hampir
setiap hari di Madinah. Subuh- Masjid Quba- Zohor-Asar-Maghrib-Isyak. 4 kali
menunggu untuk ke Raudah, belajar mengaji bersama guru Quran sementara menunggu
Maghrib dan selepas Maghrib dan beberapa kali jalan-jalan melihat kedai-kedai sekeliling
Madinah. Hampir semua peniaga boleh memahami Bahasa Malaysia dan ada antara
mereka yang menghulurkan tangan untuk bersalam dan selepas itu menarik saya
masuk ke kedainya. Tiada pembantu kedai kaum wanita disini. Kedai baju wanita, kedai
Abaya, kedai emas, restaurant malah
kedai apa pun disini, semua pekerja adalah lelaki. Mana wanita Arab?
Isyak pada malam ini ada solat yang terakhir dan ini
adalah solat yang ke 40 untuk jemaah KT26. Tidak ada jemaah KT26 yang dapat
lebih dari 40 waktu kerana ketika sampai di Madinah kami bermula solat jemaah
yang pertama pada waktu Subuh dan berakhir pada hari ke 8 pada waktu Isyak.
Selepas Maghrib saya melakukan ziarah wida’ di
Makam Rasullullah. Saya memohon agar di murahkan rezeki kami agar dapat lagi
berziarah, Saya membaca doa ini,
Ya Allah,
jangan jadikan ziarah ku ini pada tempat yang mulia ini sebagai yang terakhir.
Kurniakan kepada ku peluang untuk menziarahi kembali ke Madinah dalam keadaan
sihat dan baik. Jika panjang umur, insyaallah,aku akan datang lagi. Jika telah
sampai ajal ku, aku telah mengabdikan kepada Mu syahadah dan perjanjian ku hari
ini hingga hari kiamat iaitu Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah, dan Nabi
Muhammad itu pesuruh Allah.
Selepas isyak, saya melangkah keluar ke masjid dengan
perasan bercampur baur. Gembira dapat bertemu semula dengan anak-anak namun
bersedih meninggalkan kota Madinah. Jam 11 bas telah sampai di perkarangan
hotel dan pengurus Al Haram Hotel bersalaman dengan semua jemaah di dalam bas
degan mengucapkan selamat tinggal dan moga mendapat haji yang mabrur.
Jam 5 pagi di Airport, pengumuman dibuat untuk
memasuki pesawat. Pengumuman masuk pesawat dan Azan subuh diwaktu yang sama. Aku,
Aza dan beberapa jemaah lain cepat-cepat
menunaikan solat subuh di perkarangan tempat menunggu di Lapangan Terbang.
Alhamdulillah, sempat juga solat Subuh sementara ada jemaah yang sedang beratur
menaiki pesawat MAS mula penerbangannya ke KLIA.
Selamat tinggal Madinah. Insyaallah, kami akan
ziarah lagi.
Link ke Travelog Haji 26: Bercinta Dalam Ibadah
Link ke Travelog Haji 26: Bercinta Dalam Ibadah
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment