Travelog
Haji 23: Mengusung Jenazah ke Baqi'
Di Makkah dan Madinah, hampir setiap waktu solat
akan dibuat solat Jenazah. Allah telah memberi ku satu ilham yang baru. Selama
ini saya hanya melakukan solat Jenazah sahaja dan kenapa saya tidak
bersama-sama untuk mengiringai jenazah bersama-sama ke Baqi'? Pagi itu selepas
subuh saya bernekad untuk mengiringi jenazah dan saya solat di pintu keluar
berhampiran dengan Maqam Rasullullah.
Sebaik sahaja selepas solat Jenazah,saya terus
keluar dari Masjid dan mencari dimana jenazah tersebut. Lantas, bila saya
ternampak sahaja jenazah sedang diusung, saya berlari-lari turut sama
mengusung jenazah tersebut sehinggalah ke liang lahat dan sama-sama
mengkebumikannya. Ini adalah pengalaman pertama ku mengusung jenazah di Bumi
Madinah menuju ke perkuburan Baqi'. Sungguh hening suasana awal pagi di Baqi'.
Suasana masih lagi gelap dan terdapat lampu sementara untuk memudahkan urusan
pengkebumian.
Di
Madinah, jenazah diusung dan dibawa ke perkuburan Baqi sambil berlari-lari
anak. Letih juga mengusung sambil berlari, namun puluhan Jemaah yang turut
menghantar sama-sama bergilir-gilir mengusung jenazah. Tidak ada tempat kosong
di keranda tersebut. Jemaah sentiasa berebut-rebut mengiringi jenazah tersebut.
Tiba-tiba saya merasa sayu dan sebak apabila mengusung jenazah. Mengapa? Hati
ini teringat saat kematian ku nanti. Adakah seramai ini orang akan solat untuk
ku? Adakah cukup amalan ku untuk dibawa menemui Tuhanku?
Juga tiba-tiba
teringat arwah Mak yang meninggal dunia ketika usia saya 9 tahun. Saya masih
kecil lagi ketika itu untuk mengangkat keranda. Saya masih ingat lagi ketika
mana jenazah ibuku dikebumikan. Hujan turun mencurah-curah sewaktu jenazah
ibuku dikebumikan. Al-fatihah untuk ibuku Hajjah Rosidah Ibrahim yang dikasihi.
Beliau pergi menunaikan Haji dengan Abah pada tahun 1981 meninggal dunia pada
ketika usia 38 tahun. Alhamdulillah, dapatlah saya membuat umrah untuk arwah
Mak. Semoga Allah mengampun segala dosa Arwah Mak dan dimasukkan ke SyurgaMu
bersama orang beriman dan beramal soleh.
Kawasan
perkuburan ini dibuka untuk ziarah selepas waktu solat fardhu Asar dan
Subuh. Hanya lelaki dibenarkan masuk. Selain dari waktu tersebut,
pintu pagar masuk ke kawasan perkuburan Baqi` akan ditutup. Moga-moga
dengan menziarahinya hati kita kuat ingat akan mati dan mengenangkan nasib kita
pada Hari Akhirat.
Jika kita
mendapat peluang menghantar jenazah ke kuburan, rebutlah peluang
tersebut. Biasanya selepas solat fardhu di Masjid Nabawi akan diadakan
solat jenazah dan sejurus selepas itu terus dihantar jenazah tersebut ke
perkuburan Baqi` yang terletak bersebelahan masjid sahaja. Besar ganjaran
buat sesiapa yang dapat mensolatkan jenazah dan menghantarnya ke tanah
perkuburan untuk dikebumikan.
Dari Abu
Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang
maksudnya:
“Barang siapa menghadiri jenazah sampai jenazah itu
disolatkan, maka ia mendapatkan satu qirath. Dan barang siapa
menghadirinya sampai jenazah itu dikuburkan, maka ia mendapatkan dua
qirath.”
Ada sahabat
yang bertanya: “Apakah dua
qirath itu?”
Rasulullah
SAW bersabda: “Sama
dengan dua gunung yang besar”
(Sahih
Muslim)
Madinah adalah kota yang aman dan
mendamaikan. Keamanan mengebabkan ramai Jemaah menyantaikan diri dan rileks.
Misalnya, dalam keadaan Masjid yang sentiasa banyak ruang untuk solat
didalamnya, masih ramai Jemaah yang memilih untuk bersolat diluar bangunan masjid.
Malah ada jemaah yang bertanyakan kepada pegawai TH sama ada ada surau di Hotel
walaupun jarak Masjid hanyalah kurang
dari 100 meter. Pegawai TH dan Pembimbing Haji seringkali perli jemaah-jemaah
yang culas ke Masjid ketika sesi taklimat diadakan. Tapi, agak-agaknya
jemaah yang culas solat di Masjid ni datang ke dengar taklimat? Entahlah.
Saya tidak perlu mengulas. Anda fikirlah sendiri.
Saya akui, ramai antara Jemaah yang sudah hilang keterujaan untuk beribadah kerana sudah mula memikirkan kampung halaman. Perasaan itu kekadang ada juga pada diri saya, namun saya tetap paksakan diriku untuk terus beristiqamah untuk melakukan yang terbaik sepanjang Haji ini. Seringkali saya berpesan pada diri sendiri inilah haji pertama dan terakhir saya. Peluang haji kali kedua mungkin sukar bagi orang biasa seperti saya ini. Saya perlu buat yang terbaik. Mungkin ramai Jemaah beranggapan Haji pun sudah selesai dan ziarah Madinah ini hanyalah amalan sunat sahaja. Wallahualam
Saya akui, ramai antara Jemaah yang sudah hilang keterujaan untuk beribadah kerana sudah mula memikirkan kampung halaman. Perasaan itu kekadang ada juga pada diri saya, namun saya tetap paksakan diriku untuk terus beristiqamah untuk melakukan yang terbaik sepanjang Haji ini. Seringkali saya berpesan pada diri sendiri inilah haji pertama dan terakhir saya. Peluang haji kali kedua mungkin sukar bagi orang biasa seperti saya ini. Saya perlu buat yang terbaik. Mungkin ramai Jemaah beranggapan Haji pun sudah selesai dan ziarah Madinah ini hanyalah amalan sunat sahaja. Wallahualam
Link ke Travelog Haji 24: Hari-hari Terakhir di Madinah
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment