Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 28: Doa Arafah dan Khutbah Arafah

Travelog Haji 28: Doa Arafah dan  Khutbah Arafah

Khutbah Arafah 1437H (2016)
Khutbah Arafah 1437H disampaikan oleh YAB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir di Padang Arafah boleh di lihat disini  https://youtu.be/knPulXBSD_Q
 
Doa Arafah
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan selain Allah, Allah Maha Besar.

Tiada yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, untuk-Nyalah segala kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas segala sesuatu. Tiada Tuhan selain Allah dan tiada daya dan upaya serta aka da kekuatan selain dengan Allah jua. Ya Allah Ya Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin.

Ya Allah! Ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa masyarakat kami dan dosa seluruh umat Islam yang telah mati dan yang masih hidup.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh Rasulullah , dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah dimita perlindungan oleh Rasulullah . Ya Allah Ya Tuhan Kami! Kami pohonkan syurga tanpa hisab, dan berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami, supaya kami dapat melakukan sebab-sebab yang membawa kami ke arahnya, selamatkan kami ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Dikau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin, berilah kekuatan, taufiq dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki kelemahan diri kami ya Allah. Tambahkanlah ya Allah kepada kami ilmu, iman dan amal, hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Kami pohonkan kepadaMu iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Dikau sahajalah yang mengetahui segala yang berlaku di hati kami, hidupkan hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Dikau, sembuhkanlah segala penyakit yang ada di dalam hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhi kami dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Jadikanlah hati kami yang sentiasa menyedari akan hakikat ketuhanan dan keagungan kerajaanMu dan masa depan kami di akhirat nanti.
Ya Allah! Jadikanlah kami ini hambaMu yang hanya mengabdikan diri kepadaMu dengan sebaik-sebaiknya, berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami supaya dapat kami lakukan apa-apa yang diperintahkan olehMu dan meninggalkan segala apa yang dilarang olehMu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas kematian kami.
Ya Allah Ya Tuhan Kami! Hidupkanlah kami dalam iman dan matikanlah kami dalam iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang akhir nanti.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Selamatkanlah kami semasa berada dalam kubur, jadikanlah kubur kami satu taman dari taman-taman syurga, selamatkanlah kami dari segala angkara azab kubur dan jangan Dikau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar, selamatkanlah kami ya Allah, semasa berada di padang mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan arasyMu ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Selamatkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami ya Allah dengan hisab yang sedikit, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami Muhammad .

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Jadikanlah kami orang yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan.
Ya Allah! Berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam nabi kami ‘al-Kauthar’. Selamatkan kami semasa menyeberangi titian siratalmustaqim dan masukkanlah kami ke syurgaMu bersama-sama orang-orang yang mulia di sisiMu ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Apakah agaknya yang Dikau akan lakukan pada petang, saat dan ketika ini kepada seorang hambaMu yang hina yang mengaku berdosa dan bersalah, yang merayu kepadaMu di atas kejahatan, yang bertaubat kepadaMu kerana dosanya, yang memohon keampunan kepadaMu kerana kezalimannya, yang mengharap kemaafanMu kerana kesilapannya, yang merayu kepadamu supaya tercapai segala hajatnya, yang mengharapkan limpahan rahmatMu pada tempat wuquf ini, walaupun dengan dosa yang begitu banyak laksana buih di lautan. Ya Allah! Kami sekelian keluar menuju kepadaMu dan berhenti di perkarangan rumahMu, kepadaMulah kami meletakkan segala harapan kami, kepadaMulah kami memohon kemurahan rahmat, kami tsayat kepada dosa kami, oleh itu kepadaMulah kami berlindung dari bencana dosa kami.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Dikaulah yang memiliki seluruh hajat orang-orang yang memohon, yang mengetahui seluruh kandungan hati orang-orang yang tidak merayu.
Ya Allah! Dikau telah sediakan sajian kepada setiap tetamu dan kami sekelian adalah tetamu kepadaMu, oleh itu kurniakanlah syurga sebagai sajianMu kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Setiap rombongan dikurniakan hadiah, setiap pelawat dikurniakan cenderahati, setiap pemohon dikurniakan pemberian, setiap yang berharap dikurniakan habuan, setiap yang memohon rahmat mendapat rahmatMu, maka kami sekelian datang berkunjung ke rumahMu yang mulia ini dan berada di tempat ibadah yang agong ini dengan harapan mendapat rahmat dan keampunanMu, oleh itu janganlah hampakan harapan kami semua ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami! Perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini ya Allah, dengan berkat nabi kami Muhammad . Dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas kepadaMu ya Allah. Allahhumma Ya Allah! Wahai yang maha mendengar Tidak mungkin kaki kami mampu melangkah ke tempat ini kecuali Dikau yang menguatkan Tidak mungkin tergerak di hati kami ingin menunaikan haji kecuali Dikau yang menggerakkan Tidak mungkin seringgit pun kami miliki kecuali Dikau yang memberikan Tidak mungkin kami sihat kecuali Dikau yang menyihatkan Tidak mungkin kami dapat membantu tubuh ini berwuduk kecuali Dikau yang mengajarkan Tidak mungkin lidah ini dapat menyebut namamu kecuali Dikau yang membimbing ya Allah Betapa ramai makhluk yang Dikau ciptakan Betapa sedikit yang berada di Arafah ini ya Allah Ya Rabbi! Dengan apa kami mensyukuri nikmat haji ini ya Allah kecuali berharap kepadaMu Terimalah haji kami ini ya Allah Terimalah haji kami ini ya Allah Terimalah haji kami ini ya Allah


Ya Allah! Ampuni seluruh dosa-dosa kami Dikau menjanjikan haji yang mabrur bersih dari dosa seperti bayi yang baru dilahirkan Alangkah indahnya jika kami Dikau pilih demikian ya Allah Ya Allah! Dikau Maha Mengetahui betapa menderitanya diri kami dengan lumuran dosa Betapa sengsaranya hidup kami dengan menutupi aib Betapa hinanya diri kami dengan maksiat. Bersihkan kami ya Allah Bersihkan dosa kami ya Allah. Ampuni dosa kami kepada orang tua kami Ampuni jikalau mereka menyesal melahirkan kami Ampuni dosa kami kepada keluarga kami ya Allah, Kepada anak-anak kami, jangan biarkan mereka menuntut kami di akhirat Berikan kesempatan bagi kami memperbaiki segalanya.

Ampuni Ya Allah! Jika di sekujur tubuh kami ada harta haram, di rumah kami banyak barang haram Padahal Dikau mengharamkan ke syurga bagi yang ditubuhnya ada daging haram Berikan kesempatan kami untuk menyucikan diri dari harta haram ya Allah Jauhkan sejauh-jauhnya ya Allah Cukupi diri kami dengan rezekiMu yang halal.

Ya Allah! Ampuni jikalau kami sering menzalimi hamba-hambaMu yang lemah Berikan kesanggupan bagi kami untuk terpelihara dari kezaliman.! Wahai Yang Maha Mendengar! Hanya Dikaulah tumpuan harapan kami Jadikan kaum muslimin ini menjadi suami yang benar Menjadi ayah yang jujur Menjadi lelaki yang soleh Jadikan kaum muslimah ini menjadi isteri yang solehah Menjadi ibu yang solehah Menjadi muslimah yang terpelihara Kurniakan kepada kami ya Allah, keturunan yang lebih baik dari kami Lindungi dari kederhakaan dan kehinaan dunia dan akhirat
Ya Allah! Berkatilah sisa umur kami Berkatilah rezeki yang Dikau kurniakan kepada kami Berkatilah ilmu yang Dikau kurniakan Berkatilah sisa umur ini


Ya Allah! Selamatkan umat Islam ya Allah Selamatkan umat Islam ya Allah Jangan biarkan Dikau saksikan kami terhina seperti ini Persatukan hati kami ya Allah Bangkitkan para pemimpin yang mencintaiMu dan mencintai umatMu Tolonglah saudara kami yang teraniaya di penjuru mana pun ya Allah Jangan biarkan kaum zalimin berjaya atas kaum beriman ya Allah Jangan biarkan kaum yang ingkar kepadaMu menzalimi kaum yang bersujud kepadaMu Bantulah saudara kami pejuang-pejuang Islam dan umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan seluruh pejuang agamaMu. Ya Allah! Mereka dalam genggamanMu ya Allah Ya Allah! Cegahlah kezaliman ke atas umatMu ya Allah.
Ya Allah! Selamatkan negara kami ya Allah Dikaulah Yang Maha Mengetahui keadaan negara kami Jangan biarkan umatMu seramai ini ditindas dan dihina Bangkitkan ya Allah Jadikan negara kami negara yang memancarkan cahaya Islam Menjadi negara yang rahmatan lil’alamin

Ya Allah! Kurniakan kepada kami pemimpin yang soleh Para pemimpin yang mencintai umatMu Para pemimpin yang teguh hidup di jalanMu Para pemimpin yang benar-benar menjadi suri tauladan bagi kami.

Ya Allah Yang Maha Agung! Undanglah kami, keluarga kami dan keturunan kami, Dengan orang-orang yang berbuat baik kepada kami. Ya Allah! Izinkan kelak kami bertemu denganMu Ya Allah Bertemu dengan RasulMu Bertemu dengan kekasih-kekasihMu. 

Link ke Travelog Haji 29: Senarai Barang Keperluan Haji
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment