Travelog Haji 8: Hari Keberangkatan: Pakai Ihram
atau Baju?
19 Ogos 2016 merupakan hari yang tidak akan
dilupakan buat kami berdua. Inilah hari yang keberangkatan kami ke Tanah suci
bagi menunaikan rukun Islam ke 5. Penerbangan kami KT26 adalah
penerbangan pertama jemaah Malaysia ke Makkah. Penerbangan awal iaitu KT1
hinga 25 ke Madinah terlebih dahulu. 4 hari sebelum keberangkatan saya dah
mengambil cuti bagi membuat semua persediaaan fizikal dan kerohanian.
Macam-macam terfikir di kepala walaupun telah buat checklist perkara yang perlu
dibuat. Paling penting sekali, saya cuba hubungi rakan-rakan, whatapps,
email kepada kenalan-kenalan memohon kemaafan supaya perjalanan kami mendapat
kerahmatan dari Mu Ya Allah.
Yang paling saya tak dapat lupakan, saya menghantar
email kepada Pengarah Taman Pertanian UPM kerana semasa 6 tahun saya belajar di
UPM, ladang Durian UPM beberapa kali ‘diteroka’ kami pelajar kolej
kediaman ke -6 yang mana lokasi ladang durian betul-betul sebelah kolej
kediaman kami. Semasa saya belajar di UPM, TNC HEP pernah berucap
semasa minggu orientasi kami:
“Kalau mahasiswa di UPM dan tak pernah
makan durian UPM, kamu memang bodoh, tapi kalau kena tangkap 2 kali bodoh”
Kata-kata ini seringkali di tafsirkan oleh kami
sebagai orang muda ketika itu merupakan satu cabaran supaya pergilah ke
ladang durian UPM dan ambillah durian… tapi asalkan jangan kena tangkap
sudahlah. Semasa saya belajar, harga durian tidaklah semahal seperti sekarang
(2016).. harga ‘pangkal’ sekitar RM1-1.50 sahaja sekilo, malahan kalau musim
durian sedang memuncak, mungkin jatuh dibawah RM1 sekilo.
Saya menulis email kepada Pengarah Taman
Pertanian UPM. Emailnya begini:
“Ketika zaman belajar dahulu, saya &
rakan-rakan telah beberapa kali memasuki kawasan kebun durian UPM dan mengambil
durian untuk dimakan bersama rakan-rakan"
Saya merasakan perbuatan tersebut satu kesilapan dan saya mohon
dimaafkan dan di halalkan apa yang telah saya ambil dan makan dari ladang UPM
semasa masih belajar satu ketika dahulu. Mohon maaf & minta dihalalkan."
Email saya mendapat respond pada hari yang sama dan
Pengarah Taman Pertanian UPM. Balasnya begini (tanpa ubah):
“Dihalalkan. Jika sudah mengetahui
kesilapan yang lepas dan bertekad tidak membuat lagi serta memohom dimaafkan
merupakan suatu perbuatan yang mulia. En Syazli saya doakan moga amalan macam
ini yang kita hendak dan moga maju jaya kehadapan.”
Selepas mambaca email tersebut timbul satu perasaan
yang begitu lega lahir dari diriku. Syukur, Inilah hikmah Haji! Segalanya
dipermudahkan.
Saya telah menyiapkan keperluan barang-barang
keperluan dan masukkan dalam beg 2 hari sebelum berangkatan dengan membayangkan
ramai waris akan datang ke rumah untuk menghantar kami nanti. Satu persoalan
yang timbul kepada saya iaitu baju apakah yang akan di pakai semasa berangkat
nanti? Saya akan ke Makkah terlebih dahulu dan kami perlu berniat umrah &
berihram dalam Pesawat. Dimana nak pakai Ihram? Nak pakai dari rumah? Di Senai?
Di surau Airport Senai atau Di Airport KLIA atau dalam pesawat? Puas saya
bertanya rakan-rakan seangkatan, namun semuanya kebingungan. Penerbangan kami
adalah pertama ke Makkah dan tahun ini adalah tahun pertama jemaah dari Johor
transit di KLIA. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berpakaian biasa semasa
berangkat dari rumah.
Persoalan memakai ihram ini masih tidak dapat
dijawab sehinggalah pada hari keberangkatan di Senai Airport. Ketika
sedang solat Isyak di Masjid Senai Airport, saya mendapat mesej dari adik Ipar
yang telah berada di Airport bahawa TH telah membuat pengumuman Jemaah
digalakkan untuk memakai ihram semasa di Senai lagi. Saya pun terus menukar
Ihram di Masjid Senai sebelum menuju ke Airport.
Hampir semua ahli keluarga saya & ipar duai
turut menghantar kami ke Senai Airport. Saya tidak dapat menyembunyikan
perasaan sedih ku untuk meninggalkan anak-anak kami semasa di rumah. Kami
menangis sambil berpelukan dengan anak-anak. Tidak pernah dalam sejarah mereka
kena tinggal lebih dari 40 hari. Inilah pengorbanan haji anak-anak ku.
Bersabarlah sayang. Doakan Ayah dan Mama semoga selamat dan dipermudahkan
urusan ibadah.
Ya Allah, kau jagalah keselamatan dan kesihatan
anak-anak kami sepanjang kami menjadi tetamu Mu. Janganlah mereka mengusahkan
Atuk dan Nenek mereka. Jangan cetuskan perasaan rindu mereka terhadap
kami.Bukakanlah hati mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Inilah doa yang sering saya bacakan sebelum
berangkat
Perjalanan ku ke Makkah merupakan perjalanan yang
panjang. Kami mendaftar di Senai pada jam 9 malam. Penerbangan dari JB ke KLIA
ialah pada jam 1 pagi. Ketika di Senai Airport, kami disaring lagi dengan
pemeriksaan kesihatan dan diberi lagi taklimat keberangkatan oleh Pembimbing Haji Ustaz Abu
Bakar Watak. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor & isteri turut
menghantar kami sehingga ke pintu perlepasan di terminal.
Ketika sampai di KLIA, penerbangan dari Senai
KT26J bergabung dengan jemaah dari Terengganu KT26T dan Pulau Pinang KT26P.
Penerbangan dari KLIA ke Jeddah akan bertolak jam 5 pagi dan dijangkakan akan
sampai di Jeddah pada jam 9.30 pagi waktu Saudi (2.30 petang
Malaysia).
Setibanya di Jeddah, Alhamdulillah, Jemaah
penerbangan KT26 tidak menghadapi apa-apa masalah di Imigresen Jeddah.
Segalanya berjalan dengan lancar dan hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit
untuk pemeriksaan Imigresen. Yang menjadi lambat ialah menunggu beg dan
menunggu pergerakkan bas ke Makkah. Kami di Jeddah disambut pula oleh
Konsul Malaysia di Jeddah dan ada ucapan Selamat Datang dari Kedutaan Malaysia
di Jeddah. Akhirnya sampai juga kami ke Hotel lebih kurang jam 4 petang dan
pegawai TH memaklumkan umrah wajib akan dibawa oleh Muassasah dan Pembimbing Haji Tanah suci pada jam 9 malam iaitu
selepas Isyak. Alhamdulillah, Umrah wajib berjaya di habiskan sebelum jam 12 malam dan kami balik ke hotel dan menukar baju.
Bermula dari jam 9 malam di Senai hinggalah sampai
ke Hotel di Makkah, Keseluruhan tempoh perjalanan ialah selama 24 jam!
Kami mempunyai 20 hari lagi sebelum hari wukuf ketika sampai di Makkah.
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. |
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:
Travelog Haji ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.
Travelog ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui
msyazli@gmail.com
No comments:
Post a Comment